Siakap Keli

“Negara Tak Muflis, Kita Mampu Bertahan Tanpa GST” – Menteri Kewangan, Guan Eng

Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan baharu tidak menyebabkan negara bankrap malah mampu bertahan setakat ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata sungguhpun GST menjadi idola pihak-pihak tertentu yang inginkan pasaran bebas selain khuatir kehilangan pelabur asing namun impak sistem cukai itu membebankan rakyat terutamanya dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Sungguhpun kerajaan baharu telah memansuhkan GST, setakat ini Malaysia belum jadi bankrap. Kita masih boleh bertahan lagi, ia membuktikan sememangnya kita mampu bertahan tanpa GST,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 di Dewan Negara hari ini.

RUU itu kemudiannya diluluskan untuk bacaan kali ketiga dengan undian suara majoriti di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran.

Lim menjelaskan terdapat banyak aduan diterima sejak GST diperkenalkan dan ia menunjukkan sistem cukai itu memberi kesan yang besar ke atas kehidupan dan kos hidup rakyat terutamanya kesejahteraan ekonomi mereka.

Dewan Negara turut meluluskan RUU Cukai Perkhidmatan 2018, yang mana Lim ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata kerajaan menetapkan supaya kantin sekolah dikecualikan cukai perkhidmatan.

Bagaimanapun, katanya penyedia perkhidmatan dan restoran di universiti tetap dikenakan cukai perkhidmatan kerana mengambil kira faktor pelanggan yang pelbagai.

“Kalau kita tengok Universiti Malaya atau universiti lain, ada satu establishment agak besar di mana pelanggannya terdiri daripada bukan saja pelajar tetapi pensyarah, profesor dan sebagainya.

“Itu sebabnya pihak kastam merasakan elok dikenakan cukai perkhidmatan kerana mereka sudah di tahap establishment, bukan seperti di sekolah-sekolah,” katanya.

Persidangan hari ini turut meluluskan RUU Kastam (Pindaan) 2018 untuk meminda Akta Kastam 1967 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018 bertujuan meminda Akta Zon Bebas 1990.

Vigneswaran kemudiannya menangguhkan persidangan Dewan Negara dan akan disambung pada 27 Ogos ini. – Bernama

Nur Farra