Pagi tadi, kami siarkan satu berita mengenai bunyi dentuman kuat dan cahaya terang yang menggemparkan penduduk di Kota Belud, Tuaran dan Kota Kinabalu, yang didakwa sesetengah saksi berpunca daripada hentaman meteor.
Sebentar tadi, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) telah mengesahkan cahaya terang dan bunyi detuman itu sememangnya berpunca daripada meteor, iaitu sejenis batuan angkasa lepas yang memasuki atmosfera Bumi akibat tarikan graviti.
”Pada kebiasaannya, batuan meteor ini berasal daripada serpihan asteroid yang bersaiz lebih kecil iaitu kurang daripada 0.5 meter persegi dan apabila memasuki ruang atmosfera Bumi dengan kelajuan yang tinggi, batuan ini akan bergesel dengan partikel di atmosfera dan akan menghasilkan haba yang menyebabkan ia terbakar dan bercahaya,” kata kenyataan itu, menjelaskan cahaya terang yang dilihat oleh penduduk tempatan.
Kata kenyataan itu lagi, berdasarkan laporan orang ramai yang mendengar bunyi detuman kuat, ANGKASA percaya ia mungkin berpunca daripada bantuan panas itu meletup di udara iaitu beberapa saat selepas cahaya itu hilang.
”Hasil daripada letupan berkenaan, batuan meteor tersebut akan berkecai menjadi debu atau serpihan kecilyang berkemungkinan akan jatuh ke Bumi,” kenyataan itu lagi.
Jelas ANGKASA, rakyat di Sabah khususnya tidak perlu bimbang dengan fenomena biasa itu memandangkan 95 peratus meteor musnah terbakar di atmosfera Bumi.
Justeru katanya, ANGKASA menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung insiden yang berlaku kira-kira 11 malam semalam itu.
Angkasa sahkan batu meteor melintasi ruang udara di Sabahhttps://t.co/dm1dloFitK
(Video awam) pic.twitter.com/EA5lsHQerQ— BERNAMA (@bernamadotcom) August 21, 2018
Sumber : Agensi Angkasa Negara