Siakap Keli

Sedih, Tak Mampu Selamat Kedua-Duanya, Ibubapa Terpaksa Buat Pilih Anak Mana Yang Mahu Diselamatkan

Ibu mana yang tak sayangkan anak, tetapi di China, seorang ibu tidak mampu berbuat apa-apa apabila kedua-dua anak kembarnya menghidapi penyakit kronik yang mampu meragut nyawa.

Disebabkan ketidakmampuan mereka, ibu ini dikatakan terpaksa membenarkan kedua-dua anaknya, yang berusia 10 bulan, membuat ‘cabutan bertuah’ untuk memilih salah seorang daripada mereka untuk diselamatkan.

Kedua-dua bayi malang itu sebelumnya didiagnosis dengan penyakit jarang berlaku CGD dan menurut doktor, kedua-duanya dijangka tidak mampu bertahan untuk hidup lebih daripada dua tahun.

Pasangan ibu bapa itu dikatakan telah dimaklumkan oleh doktor bahawa satu-satunya cara mahu menyelamatkan nyawa bayi-bayi mereka itu adalah melalui pembedahan pemindahan dengan setiap bayi memerlukan kos perubatan sebanyak £114,000 (RM 598,942), yang mana diluar kemampuan mereka.

Dalam keterpaksaan, kedua-dua pasangan ini akhirnya terpaksa membuat keputusan paling getir dalam hidup mereka, anak yang mana mahu diselamatkan?

Dengan menggunakan dua keping kertas, salah satunya ditulis dengan perkataan ‘diselamatkan’ manakala satu lagi dibiar kosong, mereka meletakkan kertas itu di atas tilam di hadapan bayi-bayi mereka, membebiarkan bayi-bayi itu memilih kertas yang mana satu.

Mujurlah, berita kesempitan yang dialami oleh kedua-dua pasangan suami-isteri itu tersebar luas di media sosial, sehingga menggerakkan netizen-netizen untuk melancarkan kutipan dana bagi membolehkan kedua-duanya diselamatkan.

Sebelum ini, pasangan suami isteri itu mengakui bahawa mereka telahpun membelanjakan £45,000 (RM 236,424) untuk merawat kedua-dua bayi tersebut. Setelah berusaha mengumpul dana seterusnya, juga melalui pinjaman daripada keluarga dan sanak-saudara, mereka hanya mampu menyediakan belanja hanya untuk seorang sahaja.

Menurut laporan media, pasangan itu dikatakan membuat cabutan bertuah itu secara sembunyi-sembunyi diluar pengetahuan keluarga, terutamanya daripada nenek kedua-dua bayi tersebut. Namun rahsia mereka terbongkar apabila si nenek mendapat tahu perbuatan mereka selepas perasan dengan keratan kertas di tangan kedua-dua bayi itu.

Dilaporkan melalui cabutan bertuah itu, si abang dikatakan memilih kertas tertera perkataan selamat manakala si adik memegang kertas yang kosong.

Si nenek yang terkejut, kemudian memarahi kedua-dua pasangan itu menyebabkan ibu bapa kepada pasangan kembar tersebut melutut dalam tangisan di hadapan nenek dan anak kecil mereka untuk memohon maaf.

Kedua-dua bayi itu yang dinamakan sebagai Happy dan Healthy, dilahirkan pada Oktober tahun lepas di Shaoguan’s Shixing County, Selatan China dan kelahiran mereka sememangnya dinanti-nantikan oleh si ayah, Qiu Boqin dan si ibu, Deng Baoling.

Bagaimanapun kegembiraan mereka tidak bertahan lama. Kira-kira sebulan kemudian, si abang, Healthy mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital.

Healthy kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi, manakala Happy yang dalam jagaan neneknya ketika itu masih belum menunjukkan simptom-simptom yang sama, sebelum keadaan berubah dan menanggung derita, sama seperti abangnya.

Kedua-duanya ditahan di unit rawatan rapi selama sembilan hari sebelum dipindahkan ke wad biasa dan disahkan menghidapi chronic granulomatous disease (CGD).

Qiu dan Deng kemudian dimaklumkan oleh doktor bahawa kedua-dua anak mereka perlu pembedahan pemintasan untuk membolehkan kedua-duanya hidup lebih daripada dua tahun.

Mereka kemudian segera menghubungi Program Derma Tulang Sumsum China di bawah seliaan Persatuan Bulan Sabit Merah dan berjaya mendapatkan penderma hematopoietic stem cell (HSC), namun tidak sepadan.

Walaupun CGD boleh dirawat melalui pemintasan tulang sumsum, namun doktor menghadapi kesukaran untuk mencari penderma yang sesuai.

Sehinggalah satu masa, apabila Program Derma Tulang Sumsum China memaklumkan kepada ibu bapa itu bahawa penderma yang sepadan telah ditemui, sebelum berita gembira itu dileburkan dengan kos biaya yang begitu tinggi.

Mujurlah, berita mengenai penyakit yang dihadapi oleh Happy dan Healthy serta kisah cabutan bertuah yang ditulis oleh media tempatan, sampai ke pengetahuan Yayasan Sukarelawan Dana Kanak-Kanak China. Setelah berita itu disahkan dengan pihak hospital, Yayasan Sukarelawan Dana Kanak-Kanak China kemudian memulakan kempen mengumpul dana untuk menyelamatkan kedua-dua bayi tersebut.

Menurut laman rasmi kempen kumpul dana tersebut, yayasan berkenaan menyasarkan kutipan dana sebanyak £102,000 (RM 535,895) bagi membolehkan kedua-duanya dibedah dan menampung kos rawatan selepas pembedahan.

Sehingga artikel ini ditulis, kempen tersebut berjaya mengumpul dana sebanyak 780195 Yuan (RM 467,091).

Apakah CGD?

Chronic Granulomatous Disease (CGD) dikesan menyerang kira-kira seorang daripada 500,000 bayi setiap tahun. Sistem imun bayi yang menghidapi CGD dapat melawan penyakit seperti demam dan selsema, namun hampir tidak berfungsi ketika berhadapan dengan serangan bakteria dan fungi.

Jika patogen berbahaya menemui jalan untuk menerobos masuk ke dalam sistem bayi CGD, sistem imun yang lemah akan segera bertindak untuk melawan patogen berbahaya tersebut. Namun disebabkan ketidakupayaan, sel-sel imun itu hanya berkumpul dan bertukar menjadi ketulan-ketulan keras dikenali sebagai granuloma.

Jika penghidap menhidapi penyakit kronik melibatkan tulang dan kulit, bayi-bayi ini akan menghadapi bahaya terutama pada bahagian jantung, hati dan otak.

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.