Siakap Keli

(Video) Momen-Momen Indah Tetapi Penuh Air Mata Penyatuan Ibu Dan Anak Terpisah Selama 68 Tahun

”Sang-chol”

Itupan ungkapan pertama seorang ibu, Lee Keum-seom, 92, saat dia bergegas mendapat dan memeluk anak lelakinya yang terpisah sejak sekian lama, dalam satu penyatuan penuh bersejarah di Korea Utara, Isnin lalu.

Lee dilaporkan sudah menunggu selama 68 tahun, lebih daripada separuh usianya menanti saat untuk menatap wajah anaknya kembali setelah kedua-duanya terpisah akibat Perang Korea. Lee setia menanti di Korea Selatan, manakala anaknya terperangkap di Korea Utara, dipisahkan oleh Zon Bebas Tentera (DMZ).

San-chol yang kini berusia 71 tahun, dikatakan terpisah dengan ibunya, Lee ketika dia masih kecil berusia sekitar 4 tahun ketika itu. Isnin lalu, San-chol setia menunggu ketibaan ibunya daripada Korea Selatan. San-chol menanti bersama menantunya, dan Lee tiba bersama-sama dengan dua anak perempuannya.

San-chol dan Lee hanyalah sebahagian daripada 89 keluarga bertuah yang diberi keizinan untuk bertemu semula setelah kedua-dua kerajaan yang bermusuh sekian lama, berjaya mencapai persetujuan apabila Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan rakan sejawatannya dari Korea Utara, Kim Jong Un menandatangani deklarasi Panmunjom dalam pertemuan awal tahun ini.

Dikatakan, seramai 57,000 keluarga dilaporkan membuat permohonan untuk dipilih nama memasuki senarai pertemuan tersebut, namun tidak semuanya bertuah. Manakala 60 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan tersebut dikatakan datang daripada warga emas yang berusia atas daripada 80 tahun. Mereka yang permohonannya diterima tiba di lokasi pertemuan, Resort Gunung Kumgang di Korea Utara ditemani waris masing-masing dengan menaiki bas yang disediakan penganjur.

Ketika pertemuan yang dipenuhi dengan air mata itu, San-chol sempat berkongsi gambar ayahnya, yang juga suami kepada Lee. Lee terpisah dengan suaminya, yang turut terperangkap di Korea Utara. Malangnya, ketika pertemuan tersebut berlaku, suami Lee sudahpun meninggal dunia.

”Ini gambar ayah, mak” kata San-chol kepada Lee.

Lee sempat berkongsi perasaannya dengan media antarabangsa yang membuat liputan pertemuan tersebut sebelum bertolak ke Korea Utara.

”Saya berharap keluarga saya (San-chol dan suaminya) di sana hidup lama dan dalam keadaan sihat,” kata Lee kepada CNN.

Lee turut memberitahu bahawa di merasa gementar untuk bertemu dengan anak sulungnya itu memandangkan kali terakhir mereka bertemu, San-chol hanyalah seorang kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa.

”Apa yang perlu saya bualkan. Saya rasa, saya patut bertanya apa yang suami saya beritahu padanya mengenai saya. Ayahnya sudah pasti pernah berkongsi cerita dengannya bagaimana keluarga kami boleh terpisah dan dimana rumah kami sebelum ini. 

 

”Saya perlu bertanya kepada San-chol mengenainya,” kata Lee lagi.

Bagaimanapun, rakaman dan gambar pertemuan dua ahli keluarga itu nyata menunjukkan bahawa perasaan gembira Lee melebihi perasaan gemuruhnya. Di sepanjang pertemuan itu, Lee dan San-chol saling berpegangan tangan antara satu sama lain.

Park Kyung-seo, Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Korea Selatan, yang menguruskan pertemuan tersebut berkata, walaupun dia gembira dengan pertemuan tersebut, satu sisinya yang lain merasa sedih memandangkan kumpulan kecil yang diterima permohonanan ini sebenarnya mangsa tragedi manusia.

”Saya merasa sangat kecewa disebabkan masih ramai keluarga yang tidak berkesempatan untuk bersama-sama dengan kami kali ini.

”Saya akan mengusahakan pertemuan seterusnya dengan mengadakan perbincangan lanjut dengan wakil daripada pihak Korea Utara.

”Bayangkan, 73 tahun yang lama, tanpa mengetahui sebarang berita mengenai keadaan keluarga yang terpisah sekian lama. Perasaan marah dan sakit, adalah sesuatu yang tidak boleh dibayangkan,” kata Kyung-seo.

Kisah pertemuan diantara Lee dengan anaknya, San-chol mengingatkan kami kepada salah satu babak air mata pertemuan di antara Deok-soo dengan adiknya, Mak-soon dalam filem Korea Selatan, Ode To My Father.

 

Sumber : CNN

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di