Siakap Keli

(Video) Jutawan Sayangkan Alam, Sanggup Disisihkan Isteri Dan Anak-Anak Untuk Kutip Sampah

Susuk lelaki ini sering dilihat di bandar Chingqing, barat daya China yang sering mengutip sampah seawal 8 pagi setiap hari.  Bagi anda yang tak pernah mengenalinya mungkin akan menganggap lelaki ini adalah pengutip sampah biasa yang tugasnya memang untuk memastikan kawasan tersebut bersih.

Tapi apa yang mengejutkan adalah lelaki ini adalah individu paling kaya di bandarnya, memiliki ratusan hartanah, kilang pengeluaran dan beberapa syarikat lain yang berpengkalan di China. Zhong Congrong, 52 tahun akan berjalan setiap hari mengutip botol kosong, plastik dengan pembesar suara memohon agar orang ramai mengambil serta tugas melindungi alam sekitar.

Selama 3 tahun tingkah laku Zhong menarik perhatian orang ramai dan tidak kurang juga mencetuskan kontroversi apabila statusnya di salah ertikan.  Pada awalnya, ramai yang menganggap itu hanyalah salah satu gimik Zhong untuk mempromosikan salah satu produk keluarannya.  Walau bagaimanapun, lama-kelamaan orang ramai mula sedar bahawa niatnya memang ikhlas dan dia tak patut dihakimi kerana kekayaannya.

Congrong berkata, dia mendapat inspirasi untuk menjaga alam sekitar selepas bertemu dengan seorang bekas profesor di wilayah Hainan yang menghabiskan masa lapangnya dengan mengutip sampah di kawasan taman. Dia sangat kagum dengan semangat wanita berkenaan dan sejak itu dia melakukan perkara sama di bandarnya sendiri.

Pada mulanya, isteri dan anak-anak Zhong turut berasa malu dengan tingkah lakunya yang secara tak sedar menarik perhatian media.  Sehingga saat itu, mereka tak mahu berjalan di sebelahnya dan mula menyedari sikap jiran dan rakan-rakan lain turut berubah terhadap Zhong.

Tak lama selepas itu, orang yang pernah mengejinya datang dan memuji kerana menyedari kejiranan mereka kembali bersih tanpa secebis sampah yang dikutip Zhong setiap hari.

Bagi mendukung amalan ini, Zhong turut memulakan usahanya kepada pekerja-pekerja yang bekerja di syarikatnya dengan denda 10 yuan bagi setiap sampah yang dibuang merata-rata.  Dia tahu bahawa masalah ini tak akan dapat diselesaikan semalaman, tapi dia yakin usaha ini akan mencapai kejayaan jangka panjang.

“Sama ada anda membuang atau mengutip sampah, ia tidak mempunyai kaitan dengan pencapaian akademik, latar belakang budaya, umur atau status sosio-ekonomi,” kata Congrong.

Sumber: Sixth Tone

Nur Farra