Siakap Keli

Bas Terlibat Kemalangan, 9 Jemaah Haji Dari Malaysia Cedera

Sebuah portal berita atas talian berbahasa Inggeris melaporkan bahawa 9 orang jemaah haji dari Malaysia cedera ringan dan mengalami luka-luka kecil selepas sebuah bas yang dinaiki terlibat dalam kemalangan.

Mereka yang cedera terdiri daripada tiga lelaki dan enam wanita ketika kejadian dalam perjalanan daripada Mina ke Mekah.

Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa seperti dilaporkan portal berita tersebut berkata bahawa kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8.40 pagi waktu tempatan (semalam) ketika bas-bas yang membawa jemaah haji dari Malaysia dalam perjalanan pulang ke Mekah selepas menyelesaikan ibadah nafar awal (tawaf, saie dan tahlul) serta melontar jamrah.

Pusat Operasi Tabung Haji yang menerima laporan berhubung kejadian kemudian menggerakkan pasukan kecemasan serta Muassasah Asia Tenggara untuk menguruskan semua mangsa yang terlibat dan menggantikan bas yang rosak dengan bas yang baru.

Portal berita tersebut turut melaporkan kejadian itu berlaku ketika jalan menuju ke Mekah sesak dipenuhi dengan kenderaan-kenderaan yang turut membawa jemaah haji daripada negara lain.

Kesembilan-sembilan jemaah haji yang cedera itu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang. Manakala, pasukan perubatan Tabung Haji turut menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap semua penumpang bas yang lain untuk memastikan semua jemaah berada dalam keadaan baik.

Semakkan di laman rasmi Facebook Tabung Haji juga mendapati bahawa terdapat banyak pertanyaan daripada netizen berhubung kejadian tersebut.

Tabung Haji dalam jawapannya meminta orang ramai terutamanya ahli keluarga jemaah yang terlibat supaya tidak merasa bimbang.

”Ahli keluarga dinasihatkan agar tidak perlu bimbang memandangkan 9 orang jemaah haji mengalami kecederaan ringan dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar. 

”Tindakan pantas telah diambil oleh Tabung Haji serta Muassasah Asia Tenggara dengan menghantar sepasukan anggota perubatan serta dua buah bas ganti untuk membawa jemaah haji pulang ke maktab masing-masing.

”Tabung Haji telah berjaya mengendalikan pergerakan jemaah haji yang lain untuk bergerak dari Mina ke Makkah dengan amat baik,” jawapan tersebut.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.