Siakap Keli

Demi Tunai Hasrat Akhir Kekasih Yang Meninggal Dunia, Lelaki Ini Sanggup Berjalan Satu Setengah Tahun

Sebuah cinta suci walaupun kekasih telah pergi. Begitulah perumpamaan yang menggambarkan kisah ini. Demi menunaikan janji yang dibuat kepada teman wanitanya yang telah meninggal dunia, seorang lelaki sanggup berjalan kaki sejauh 1,541 kilometer untuk menyebarkan abu mayatnya di atas Doi Inthanon, puncak tertinggi di Thailand.

Tetapi dia tidak berseorangan kerana ditemani tiga ‘rakan’ sepanjang perjalanan tersebut.

Sakchai Suppantamat, 39, yang berasal dari wilayah Udon Thani, tidak pernah sampai ke Doi Inthanon, tetapi selepas mendengarnya, dia berjanji kepada teman wanitanya untuk membawanya ke sana melancong sekiranya mempunyai wang yang  cukup.

Tetapi apa yang menyedihkan, kekasihnya itu telah meninggal dunia pada Oktober 2016.

Walaupun dia masih tidak mempunyai wang yang cukup, tetapi dia tidak berputus asa sebaliknya melakukan satu perjalanan epik untuk memenuhi janji kepada kekasihnya itu dengan berjalan kaki ke Doi Inthanon.

Ketika wartawan tempatan bertemu dengannya yang sedang menolak kereta sorong yang diletakkan barang-barang miliknya di wilayah Chiang Mai, semalam, Sakchai memberitahu mereka dia memulakan perjalanannya dari wilayah selatan Trang pada Januari tahun lalu, menurut Komchadluek.

Oleh itu, ianya bermaksud dia telah berjalan selama satu setengah tahun.

Dia dilaporkan berkhemah di mana sahaja tempat sesuai setiap malam, sama ada di tepi jalan, kuil atau tanah perkuburan.

Kadang-kadang, penduduk tempatan di kampung-kampung yang dilaluinya akan menawarkan makanan atau air kepadanya.

Sepanjang perjalanan, dia ditemani tiga haiwan jalanan yang menyertai perjalanannya, menurut beberapa saluran media Thailand.

Yang pertama ialah seekor anjing yang ditemuinya di daerah Samut Prakan, yang dinamakannya ‘Krachow’.

Kedua, seekor anjing lain yang ditemui di daerah Phitsanulok yang diberi nama ‘Namo’.

Dan ketiga, seekor anak kucing hitam yang dilaporkan baru sahaja dijumpai dua hari lalu, yang ditinggalkan di rumput di tepi jalan.

Sakchai memberitahu Thairath bahawa dia mengambil kucing itu kerana ‘jika bukan dirinya, siapa lagi yang akan menjaganya?’

Apabila ditanya mengenai teman wanitanya yang meninggal dunia, air matanya terus mengalir laju.

“Saya dan teman wanita saya tidak pernah terpisah,” katanya.

“Kami bekerja bersama malah berehat juga pada masa yang sama. Mungkin suatu hari nanti saya akan berhenti menangis.

“Saya tidak tahu sama ada cinta boleh diukur. Saya terus memikirkannya semasa saya berjalan. Mungkin ini cara saya menghargainya.

“Apa yang saya tahu, saya mahu melakukan ini untuk orang yang saya sayangi.”

Sumber : Coconuts

 

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.