Siakap Keli

(Video)Ambergris, Muntah Buangan Ikan Paus Sperma Yang Membuat Manusia Bertuah Jadi Jutawan Segera

Siapa yang tidak suka badan atau baju yang dipakai kekal berbau harum. Setidak-tidaknya apabila badan kekal harum, orang disekeliling selesa untuk terus berdamping dan memberi imej baik kepada tuan punya badan, ”Oh, pembersih orangnya”, barangkali.

Tidak kisah lah apa pun jenamanya, baik daripada pengeluar terkemuka dunia ataupun daripada bungkus-bungkus biasa yang dijual tepi jalan, siapa saja yang jual, pasti mampu buat duit. Perlbagai haruman, ada yang diekstrak daripada pelbagai jenis bunga. Ada bunga mawar, ada bunga lavender, ada juga yang diekstrak daripada bau buah-buahan. Tetapi semua ini, tidak akan bertahan lama baunya pada pakaian atau badan anda tanpa satu bahan ini, ambergris.

Apakah Ambergris?

Ambergris. Satu nama yang sangat elegan dan moden, tetapi ambergis sebenarnya adalah nama lain untuk muntah ikan paus sperma. Percaya atau tidak, ambergris adalah salah satu ‘sumber’ lautan yang paling dicari-cari oleh manusia, khususnya nelayan, selain ikan untuk dijual dipasaran.

Digambarkan sebagai emas terapung, sejarah pernah merekodkan beberapa individu bertukar menjadi jutawan segera gara-gara tuah mereka bertemu dengan komoditi bernilai ini secara tidak sengaja. Seringkali ketika ditemui, sama ada terapung di atas air atau terdampar di tepi pantai, ambergris boleh sahaja berbentuk seperti gumpalan kapas jika diperhati daripada jauh, atau keras dan berlilin ketika dipegang.

Walaupun digunakan untuk menghasilkan minyak wangi, namun bau ambergris sebelum diproses tidaklah seharum seperti yang disangka. Disebabkan baunya yang agak kuat, anda lebih bertuah jika membawa haiwan peliharaan seperti anjing untuk berjalan-jalan di tepi pantai, mana tahu dengan bantuan deria bau anjing yang kuat, anda dapat bertemu dengan ambergris.

Disebabkan terdedah dengan fenomena alam, muntah-muntah ikan paus ini yang terapung kemudian bertukar menjadi struktur yang bergumpal dan keras. Sekali pandang, ambergris tidak jauh beza dengan seketul batu. ada ambergris ini dilaporkan terapung-apung dilautan sehingga 30 tahun sebelum ia ditemui oleh manusia bertuah di tepi pantai.

Harga yang mahal

Pada tahun 2016, sepasang suami isteri yang sedang berjalan di tepi pantai di Middleton Sands berhampiran Teluk Morecambe, Lancashire di England tidak menyangka nasib mereka begitu bertuah apabila ditakdirkan untuk bertemu dengan ketulan ambergris tersebut.

Gary dan Angela Williams memberitahu ketika itu mereka sedang bersiar-siar di pantai sebelum terhidu satu bau yang tidak menyenangkan. Disebabkan timbul rasa ingin tahu yang kuat, serta bantuan anjing mereka, pasangan itu kemudian menjejak bau tersebut sehingga bertemu dengan satu ketulan gelap dan berlendir seolah-olah getah.

Setelah memeriksanya dan menyakini bahawa objek tersebut adalah ambergris seperti yang pernah dibaca sebelum ini, Gary kemudian membawa pulang objek tersebut ke rumahnya. Gary sempat menyimpan objek seberat 1.5 kilogram tersebut buat seketika, membuat kajian dan mencari pembeli yang berpotensi dan menawarkan harga paling tinggi.

Hasilnya, ambergris seberat 1.5 kg itu terjual pada harga RM 292,785.

November tahun yang sama, seorang nelayan daripada Oman turut dilahirkan dengan tuah yang sama. Bezanya, tuah Khalid Al Sinani bukan sebarang tuah. Dia berjaya menemui ambergris seberat 60 kilogram yang terlekat pada jalanya.

Menurut Khalid, ketika itu dia hanya keluar memeriksa pukatnya di Pantai Qurayat sebelum mendapati terdapat banyak objek yang terlekat pada jalanya. Dengan panjang bot cuma 6 meter, Khalid terpaksa bersusah payah untuk menaikkan kesemua ketulan tersebut.

Dianggarkan nilai keseluruhan berjumlah RM 11 juta, Khalid ketika memberitahu media bahawa dia mahu berhenti menjadi nelayan dan menikmati hidup sahaja.

Lebih dekat, tahun lepas di Indonesia, Sukadi yang juga seorang nelayan, sama seperti Khalid, juga merupakan antara individu yang menjadi kaya dengan segera apabila berjaya menemui ambergris seberat 200 kg.

Ujar Sukardi yang tidak mengetahui mengenai ambergris, niatnya ketika memungut ketulan-ketulan tersebut kerana menyangkakan ia hanyalah sampah yang mencemari laut, pembekal sumber pendapatan utamanya.

Namun setelah dibawa pulang ke rumahnya, Sukardi tergerak hati untuk memeriksa objek yang dipungutnya itu kerana strukturnya yang pelik di Youtube. Nyata, Sukardi amat bersyukur kerana tidak membuang ‘sampah’ tersebut sebelum ini.

Ketika itu, menurut laporan Tribun News, Sukardi menyimpan semuanya dan masih belum dijual kerana menanti pembeli yang menawarkan harga sekurang-kurangnya 30 juta Rupiah (RM 8,423) untuk setiap kg.

Di atas sekadar memetik kisah beberapa individu yang dimurahkan rezeki oleh Tuhan kerana diberi kesempatan untuk merasai kekayaan dengan segera. Ambergris ini dijual dengan harga yang berbeza-beza kerana bergantung kepada kualiti ambergris itu sendiri, selain rundingan dengan pembeli.

Ditambah pula dengan fakta bahawa populasi paus sperma yang begitu sedikit ketika ini, ia menyebabkan nilai ambergris begitu tinggi kerana ia jarang-jarang ditemui.

Ambergris ini sebenarnya terhasil di dalam perut ikan paus untuk membantu paus sperma menghadam dan melindungi ususnya daripada makanan uyang ditelannya. Diet utama ikan paus sperma adalah sotong. Ambergris ini dikeluarkan sama ada melalui muntah atau melalui sistem penyahtinjaan yang lain.

Ambergis dalam minyak wangi

Disebabkan ambergris sukar ditemui dan harganya pula mahal, maka layaklah ambergris hanya digunakan untuk menghasilkan minyak wangi kelas bangsawan sahaja.

Ambergris digunakan dalam produk minyak wangi disebabkan sifatnya yang memanjangkan bau minyak wangi. Antara jenama-jenama besar yang menggunakan ambergris dalam produk mereka adalah Dolce n Gabbana dan Giorgio Armani.

Disebabkan harganya yang terlalu mahal, sukar ditemui dan bantuan kemajuan sains, industri minyak wangi hari ini lebih gemar menggunakan bahan sintetik berbanding ambergris dalam produk mereka. Ketika ini, minyak wangi dengan ambergris dihasilkan khas untuk mereka yang berduit sahaja.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=JwXwsi8NJzU]

 

Sumber : The Conversation, International Businness Times, Tribun News, GQ Magazine

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.