Siakap Keli

Bantuan BRIM Akan Dikurangkan Sedikit Demi Sedikit Sebelum Dihapuskan – Tun M

Kerajaan akan mengurangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedikit demi sedikit, sebelum dimansuhkan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi satu portal berita hari ini.

Memetik laporan dari The Malaysian Insight (TMI) dalam wawancara bersama Mahathir melaporkan langkah itu dilakukan supaya rakyat tidak bergantung kepada kerajaan.

Proses ini akan dilakukan secara beransur-ansur sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan sepenuhnya.

“Kita akan kurangkan sedikit demi sedikit apa yang kita berikan kepada mereka (BR1M) dan jelaskan kepada mereka apa objektif kita.

“Saya sentiasa cakap mengenai tongkat. Buanglah tongkat anda, berjalan di atas kaki sendiri. Barulah anda menjadi kuat dan anda akan jadi lebih baik.

“Jika anda hanya suap rakyat, mereka akan jadi lemah,” kata Dr Mahathir seperti dilaporkan sumber.

Mengulas lanjut, beliau juga mendakwa pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini ‘memanjakan rakyat’ dengan memberikan mereka wang tanpa melakukan kerja.

“Najib memanjakan rakyat dengan membuatkan mereka fikir tanpa melakukan sebarang kerja kerajaan akan berikan wang kepada mereka.

“Sekarang kita tidak boleh berikan mereka wang kerana kita tidak mencuri wang, tetapi mereka masih mahu wang (BR1M).

“Tetapi rakyat masih mahukan BR1M. Mereka menjadi sangat bergantung kepada kerajaan dan ini adalah tidak baik. Mana-mana negara yang rakyatnya berasa kerajaan akan membayar wang walau tidak melakukan apa-apa, ia akan muflis,” katanya seperti dilapor.

Mahathir berkata, objektif kerajaan baru adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan sebanyak mungkin menerusi pelaburan asing dan domestik.

Sebelum ini, Pakatan Harapan mengumumkan akan menggantikan BR1M yang telah dimulakan sejak tahun 2012 apabila berjaya mengambil alih kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Namun menurut Mahathir ia akan dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup Malaysia, tetapi setakat ini masih tiada sebarang pengumuman berhubung perkara itu.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.