Siakap Keli

Ibu Bapa Harus Bagi Ruang dan Membantu Anak Khunsa, Masyarakat Jangan Terus Melabel Negatif

Khunsa, berasal dari perkataan Arab yang bererti lembut. Menurut Kamus Dewan, khunsa bermaksud orang yang mempunyai dua alat kelamin. Malah, mereka mempunyai ciri fizikal dan naluri istimewa sejak lahir.

Khunsa atau dalam bahasa perubatan dikenali sebagai Hermaphrodite Dimorphic merujuk kepada bayi yang mempunyai kromosom seks tambahan, menjadikan mereka bayi dengan 47 kromosom dan bukannya 46, termasuk pasangan XXY dan bukannya XX (perempuan), atau XY (lelaki)(1).

Kanak-kanak ini mempunyai dua kromosom X (seperti wanita biasa), dan pasangan XY (seperti lelaki biasa). Dengan kromosom Y hadir, bayi mempunyai testis dan akan menghasilkan testosteron, dengan kemungkinan orientasi lelaki(1).

Kecenderungan lelaki

Sifat jantina seseorang ditentukan oleh organ testis atau ovari. Sekiranya organ testis terbentuk dengan sempurna, maka testosteron akan dirembeskan. Testosterone akan menonjolkan sifat kelelakian akan lebih ketara. Khunsa yang dominan lelaki boleh membesar seperti lelaki dalam keadaan turut memiliki kelamin wanita(2).

Gambar :Hello Sehat

Kecenderungan Wanita

Begitu juga jika ovari yang terbentuk dengan sempurna berbanding testis. Ovari yang sempurna akan merembeskan estrogen. Estrogen akan membentuk ciri-ciri seks sekunder atau ciri-ciri kewanitaan termasuk sifat seseorang yang ke arah kewanitaan. Oleh itu, khunsa dominan wanita akan membesar seperti wanita walaupun turut memlikili kelamin lelaki(2).

Khunsa Tidak Sempurna

Terdapat juga khunsa yang tidak sempurna pembentukan kedua-dua ovari dan testis. Khunsa jenis ini tidak dapat ditentukan kecenderungan jantinanya.

Khunsa Sempurna dan Seimbang

Ada juga khunsa yang sempurna pembentukan kedua-dua jantinanya. Tetapi khunsa jenis ini amat jarang ditemui. Jika ada, kedua-dua jenis hormon yang bertentangan tidak dapat dihasilkan serentak, tetapi ia boleh berubah-ubah dipengaruhi oleh kecenderungan minda(2).

Sekiranya khunsa jenis ini membesar di persekitaran yang cenderung kepada lelaki, maka organ testis akan lebih aktif dan penghasilan testosterone akibat pengaruh minda. Sekiranya khunsa membesar di persekitaran yang dikelilingi oleh wanita, maka ovari akan lebih aktif dan hormon estrogen akan terhasil akibat pengaruh minda(2).

Tempoh umur mumaiyiz iaitu ketika berumur antara 3 hingga 6 tahun atau peringkat dimana mereka baru belajar mengenal halal dan haram, najis dan suci  serta lelaki dan perempuan ialah waktu sesuai untuk menentukan sifat sebenar jantina anak khunsa(2).

Ibu bapa perlu memberi ruang untuk kepada anak khunsa untuk memilih kecenderungan jantinanya. Kecenderungan ini boleh diperhatikan melalui sikap dan tingkah laku mereka.

Penentuan Jantina Khunsa

Dalam menentukan jantina khunsa sama ada lelaki ataupun perempuan, cendekiawan membahagikannya kepada dua hal, iaitu sebelum dan selepas baligh.

Profesor di Universiti al-Qassim, Arab Saudi, Abdul Bin Mohamad Bin Ahmad al-Tayyar menegaskan, bagi golongan khunsa yang belum mencapai umur baligh, mereka dapat mengenal pasti seseorang yng khunsa melalui cara mereka membuang air kecil. Ini boleh dilakukan oleh ibu bapa terhadap anak-anak yang dilahirkan khunsa(3).

Jika seseorang itu kencing dan airnya keluar daripada faraj (kemaluan) dan dia didatangi haid, jantinanya akan ditentukan sebagai seorang perempuan.

Namun sekiranya dia memiliki kedua-dua alat kelamin, tetapi air kencing keluar dari zakar dan dia tidak didatangi haid, maka ditentukan jantinanya sebagai lelaki.

Pandangan ini juga dipersetujui majoriti ulama. Jantina khunsa dewasa pula dapat dikenal pasti melalui perubahan dialami, seperti tumbuh janggut, halkum dan misai bagi lelaki(3).

Dalam menentukan jantina perempuan pula, antara tanda yang dapat dikenal pasti seperti kedatangan haid dan pertumbuhan payudara. Namun begitu, jika masih tidak dapat mengenal pasti jantina mereka, ibu bapa harus melihat pula dari segi pergaulannya. Jika dia cenderung tertarik kepada wanita, maka dia adalah lelaki dan begitulah sebaliknya(3).

Mereka juga berhak untuk memilih jantina mereka mengikut kecenderungan, perwatakan dan setelah disahkan secara klinikal. Sebelum itu, mereka hendaklah mendapatkan nasihat dari pakar dan ibu bapa juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk memerhati tingkah laku dan perwatakan anak-anak mereka.

Gambar :lifeofdad.com

Khunsa vs Transgender

Mereka bukanlah transgender yang berusaha mahu transisi atau transition secara sosial, perubatan, iaitu melalui pembedahan atau dengan bantuan hormon oleh sebab kecelaruan identiti(4).

Dalam erti kata lain, khunsa ataupun lebih dikenali sebagai interseks ialah berkenaan perubahan tubuh badan atau keadaan fizikal manakala transgender melibatkan kecelaruan identiti seseorang yang tiada kaitan dengan masalah dalaman.

Masyarakat akan terus melabel mereka yang interseks itu sebagai pondan atau wanita/lelaki jadian kerana kurang pendedahan pada hal-hal interseks. Kes-kes interseks jarang dijadikan perbualan dalam masyarakat kerana maruah keluarga dan masyarakat setempat(4).

Rujukan :

  1. Health24
  2. Attitude Theraphy
  3. YADIM
  4. Queer Lapis

Amy Noreffaziera

Jatuh bangun sendiri.. Tiada apa yang mustahil selagi kita berusaha..
_Jinsei o tsuyoku shite tatakau (Keep strong and fighting for life)_ =D ..#Ridergirl #Amiey