Siakap Keli

Kerajaan Bakal Wujudkan Sistem Pengiktirafan Dan Pensijilan Bagi Institusi Tahfiz

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan Dasar    Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang diperkenal kerajaan terdahulu dengan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Fuziah berkata kerajaan mengambil berat mengenai perkembangan pendidikan tahfiz bagi melahirkan generasi yang seimbang dari segi ilmu duniawi dan ukhrawi (akhirat).

“DPTN akan dilaksana dengan kerjasama Jabatan Agama Islam di setiap negeri dan dasar ini merupakan usaha penyelarasan pengurusan pendidikan tahfiz iaitu penghafazan Al-Quran di Malaysia yang seragam dengan mengambil kira dasar pendidikan kebangsaan dan peraturan sedia ada di negeri,” katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Negara, hari ini.

Buat masa ini, katanya, status DPTN telah diambil maklum oleh Majlis Raja-Raja pada Oktober 2017 dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka juga telah meluluskan dasar ini di peringkat DUN manakala negeri lain perlu meluluskan dasar ini di peringkat DUN masing-masing.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Jamilah Sulaiman yang ingin tahu sama ada kerajaan akan menilai semula DPTN bagi meningkatkan prestasi sekolah tahfiz di seluruh negara.

Fuziah berkata inisiatif penambahbaikan DPTN itu antara lain akan melibatkan pemantapan undang-undang dan penguatkuasaan dengan melibatkan pengawalan penaziran, memantapkan kurikulum pendidikan tahfiz agar selaras dengan pendidikan arus perdana dan memperkasa tadbir urus institusi tahfiz.

“Menerusi DPTN, sistem pengiktirafan dan pensijilan institusi tahfiz juga akan diwujudkan yang mana ketika ini lulusan institusi tahfiz tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada mana-mana pihak berkuasa. DPTN akan memberikan penekanan terhadap kewujudan badan pengiktirafan pendidikan tahfiz secara berpusat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada semua pihak untuk memastikan setiap pusat tahfiz didaftarkan bagi membolehkan aspek kawal selia keselamatan dan pentadbiran diuruskan dengan baik mengelak tragedi seperti kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat.

Kebakaran pada September 2017 itu mengorbankan nyawa 21 pelajar dan dua guru. – Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)