Siakap Keli

Budaya Upah Sembahyang Jenazah Dengan Beri Wang Seperti Meraikan Ketika Insan Lain Sedang Berduka?

Sudah menjadi tanggunjawab penduduk setempat untuk menguruskan jenazah sekiranya berlaku kematian saudara segama dalam komuniti setempat. Selain atas sifat kemanusian, tanggunjawab untuk menguruskan jenazah tersebut juga sebahagian daripada tuntutan agama sebenarnya.

Namun begitu, pada hari ini, jujur diakui bukan semua anggota masyarakat tahu prosedur-prosedur yang seharusnya dilaksanakan sekiranya berlaku kematian. Jalan mudahnya adalah dengan mendaftar masuk dalam sistem khairat kematian.

Melalui sistem khairat kematian ini, biasanya urusan jenazah daripada awal sehinggalah selesai proses pengebumian biasanya diuruskan oleh ilmuan-ilmuan agama setempat. Bagaimanapun, kali yang nak dikongsi bukanlah mengenai khairat kematian, sebaliknya mengenai satu budaya yang berlaku dalam masyarakat hari ini apabila berlaku kematian.

Budaya tersebut seperti yang dikongsikan oleh Persatuan Khairat Kematian Qariah Mesjid Bukit Kayu Hitam adalah budaya upah sembahyang jenazah. Anda pun mungkin pernah mendengar mengenai upah sembahyang ini. Adakah ia amalan yang dituntut atau bercanggahan dengan agama, tidak ada sesiapa pun yang ambil kisah.

Jom baca perkongsian yang dibuat oleh Persatuan Khairat Kematian Qariah Mesjid Bukit Kayu Hitam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai budaya ini. Semoga bermanfaat.

HENTIKAN UPAH SEMBAHYANG JENAZAH

Tradisi memberi wang atau dianggap sebagai upah kepada mereka yang mendirikan solat jenazah menjadi kemestian di kebanyakan tempat di negeri Kedah. Ia dilihat seakan-akan suatu sambutan keramaian disaat insan lain sedang dirundung kedukaan.

Tradisi ini menyalahi sunnah Nabi s.a.w. dan tatacara ajaran Islam yang sebenar. Tidak pernah didapati di dalam mana-mana riwayat hadith sahih atau yang daif sekalipun bahawa Rasulullah s.a.w. atau para sahabat memberi upah kepada mereka yang menyembahyangkan mayat kaum muslimin.

Kebiasaan yang menjadi kepala membelanjakan wang keluarga simati adalah terdiri daripada golongan agama yang dihormati seperti Imam, bilal, siak, AJK masjid atau guru agama.

Alhamdulillah, Jawatankuasa Masjid Bukit Kayu Hitam telah menghapuskan tradisi memberi wang upah sembahyang jenazah ini dan tidak terlibat sekiranya ada perkara ini berlaku di Kariah Bukit Kayu Hitam.

Ada juga netizen-netizen yang meninggalkan komen masing-masing mengenai isu yang dibangkitkan oleh Persatuan Khairat Kematian Qariah Mesjid Bukit Kayu Hitam ini.

Antaranya adalah seorang lelaki yang dikenali sebagai Husin Abu Seman yang berkongsi pengalamannya mengenai fenomena tersebut.

”Malah diperhatikan ada kumpulan tertentu dengan van yang datang kerumah si mati untuk melakukan solat jenazah secara berbayar. Mahu tak mahu waris si mati kena bayar mengikut bil dalam kumpulan tersebut dan caj van. Bagi yang tak mampu tentunya menjadi masalah kewangan kepada waris,” katanya.

Seorang lagi netizen yang dikenali sebagai Che Hassan Che Yahya, perkara yang sama turut pernah dilaluinya.

”Saya pun pelik apa yang berlaku ini. Di kampung isteri saya ni pun sama. Bila berlaku kematian AJK Masjid yang bertanggungjawab awal lagi mari rumah tanya keluarga. Nak pakej mana A, B atau C.

”Maksudnya setiap pakej tu ada nilai RM. Lagi baik pakej tu lagi ramai yang datang solat jenazah. Jauh dan dekat. Penuh kenderaan sekitar masjid. Apa yang tak sedap mata memandang habis solat ada petugas-petugas menghulurkan sampul (macam duit) sebab waktu ini nampak macam meriah.

”Ahli-ahli jemaah jauh dan dekat tadi seperti satu perjumpaan atau perhimpunan besar mereka sambil meninggalkan masjid. Tinggallah jasad yang diurus oleh anak-anak muda kampung dan sanak saudara untuk perjalanan ke kubur. Dalam erti kata lain pihak masjid telah siap sedia sampul-sampul berisi duit mengikut pakej-pakej tadi. Rasanya hal ini berlaku hingga ke hari ini,” katanya.

Sumber : Persatuan Khairat Kematian Qariah Mesjid Bukit Kayu Hitam

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di