Siakap Keli

Subjek Pendidikan Islam Di Tadika, Sekolah Akan Diubah – PM Mahathir

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) — Subjek pendidikan agama Islam di tadika serta sekolah akan diubah supaya mampu membentuk keperibadian rakyat mengikut nilai-nilai murni berlandaskan Islam, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata penyemaian nilai murni sejak dari kecil mampu mewujudkan budaya masyarakat yang lebih baik pada masa depan.

Beliau berkata ibu bapa pada masa ini terlalu sibuk dengan kerjaya dan tidak mempunyai masa yang banyak untuk mendidik anak mereka.

“Sebab itu anak-anak buas dan melakukan perbuatan tak baik.

“Kalau tak semai nilai-nilai mulia maka mereka akan belajar nilai-nilai ini dari kawan mereka, dan kawan mereka bukan semuanya baik,” katanya dalam sesi dialog pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan seorang peserta mengenai cadangan kerajaan untuk membangunkan sistem pendidikan negara.

Dr Mahathir berkata jika negara dapat membangunkan generasi akan datang dengan nilai-nilai murni, mereka akan menggunakan ilmu untuk kebaikan.

“Ilmu yang ada pada seseorang berguna jika kita pandai menggunakan ilmu itu. Kalau penyangak guna ilmu untuk mencuri, kalau orang yang baik, ilmu digunakan kepada arah yang baik,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.