Siakap Keli

33 Klinik 1Malaysia Akan Ditutup Secara Berperingkat, 313 Lagi Akan Dijenamakan Semula

Laporan akhir tiga isu utama melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan dibentangkan ke mesyuarat Kabinet akan datang, kata Menterinya Dr Dzulkefly Ahmad.

Tiga laporan berkenaan adalah berhubung penstrukturan semula Klinik 1Malaysia, kes gangguan seksual melibatkan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) dan cadangan kenaikan kadar caj perundingan pengamal perubatan dan doktor bagi perkhidmatan di klinik dan hospital swasta.

Dr Dzulkefly berkata  berdasarkan cadangan, sebanyak 33 daripada 346 Klinik 1Malaysia di seluruh negara akan ditutup secara berperingkat selepas isu berkenaan dibawa ke Kabinet.

“Lebihan Klinik 1Malaysia berkenaan akan diubah suai menjadi Klinik Komuniti dengan beberapa kelainan baharu termasuklah menugaskan pegawai perubatan, ahli farmasi dan jururawat di setiap klinik,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Kebangsaan (Minggu PKPK) 2018, di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menegaskan penutupan 33 klinik berkenaan tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk sekitarnya kerana terdapat fasiliti kesihatan KKM yang berdekatan (Hospital & Klinik Kesihatan).

Setakat ini, terdapat 346 klinik 1Malaysia di seluruh negara. Ia diperkenalkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2010.

– Bernama

Nur Farra