Siakap Keli

“Abang Kau Hisap Dadah Hari-Hari. Apa Yang Kau Buat? Kau Buat Lagu?”

Teringat aku ayat-ayat yang aku hamburkan dekat kawan baik aku sendiri, Kimal. Benda ni jadi lebih kurang dua tahun lepas. Petang tu aku dah tak tahan, aku kena cakap juga dengan Kimal. Bagi dia sedar.

Hati mana yang tak panas bila tengok kawan baik kena pow dengan abang kandungnya. Duit gaji kerja yang tak seberapa tu kena “sedekah” dekat abang sendiri. Kalau buat makan takpe juga, ni tidak, dibelinya dadah.

Nak tambah lagi gila, Kimal ni macam tak rasa apa-apa. Tenang je dia buat lagu. Memang dari sekolah lagi suka buat lagu. Tapi agak-agak la, abang dah teruk macam tu, buat la something.

Marah aku tak lama. Kimal cerita situasi dia yang sebenar. Sebelum ni dia cuba nak cerita, tapi aku ego. Aku ingat aku sorang je yang boleh nasihatkan dia, sampai tak bagi peluang dia terangkan masalah dia.

Cerita bermula bila abang kandung Kimal, Apaq, bercerai dengan isteri. Sudahlah bercerai, Apaq tak dibenarkan jumpa anak. Sejak dari tu, hidup Apaq melarat. Ada kerja kena buang, dan dah berjinak-jinak  main dadah sebab melepak dengan kawan-kawan yang tak betul.

Apaq dulunya ayah yang penyayang, kini dah jadi panas baran. Pantang ditegur, ada saja yang nak dihamunkan. Mungkin kepala dah berdengung lama sangat pekena barang.

Berbuih mulut Kimal bagi nasihat. Apaq tetap ego. Dia tak hiraukan orang sekeliling.

Kimal tak suka dengan apa yang Apaq buat, tapi terpaksa juga hulur duit. Love-Hate relationship bak kata orang putih. Orang luar mungkin cakap, “Pergi la report polis bodoh, takkan nak biar macam tu je”. Ya, aku pun fikir benda sama. Tapi tak semua orang sanggup tengok abang kandung kena heret dengan polis. Kita tak rasa apa yang dorang rasa.

Makin lama keadaan Apaq makin teruk. Balik lewat malam, bawa balik kawan hisap dadah dekat rumah, tabung syiling Kimal pun kena rembat. Bukan setakat tu je, Kimal dapat tahu Apaq dah mula jual dadah. Kimal dah mula pening. Dah la sibuk kerja, hujung minggu ada kelas sebab dia sambung Master, sibuk dengan buat lagu lagi. Ni tambah pula satu hal nak memikirkan perangai si Apaq.

Banyak mana pun masalah datang, benda tu semua tak matikan minat Kimal dengan muzik. Ada sekali tu dia join pertandingan menyanyi di Konsert M.Nasir. Tujuh orang terbaik akan diambil untuk buat single dengan Luncai Emas. Dah kalau rezeki, memang tak kemana. Kimal dinamakan sebagai salah seorang yang dapat ikat kontrak dengan Luncai Emas.

Kegembiraan tu tak terhenti disitu, lagu yang dikarang Kimal terpilih untuk dijadikan single. Dapat masuk studio Luncai Emas pun dah boleh rasa bangga, apatah lagi dapat rakam single dalam tu. Lagi bangga bila lagu ciptaan sendiri yang terpilih. Tak sia-sia Kimal memerah otak siang malam nak siapkan lirik.

Tetapi langit tak selalunya cerah. Apaq kena cekup polis dekat rumah. Masa tu malam, Kimal baru je habis kelas. Sampai je depan rumah dia hairan, banyak sangat kasut. Masuk-masuk je dia nampak Apaq dengan kawan-kawannya dah terduduk dengan tangan bergari. Kawan serumah yang tak main barang pun kena. Kasihan.

Kusut, serabut. Macam-macam bermain dalam kepala Kimal. Benda paling dia takut dah jadi depan mata. Apaq dengan yang lain dibawa ke lokap malam itu juga. Perkara pertama yang difikirkan Kimal, macam mana nak jamin Apaq.

Duit simpanan dah banyak habis. Telefon orang tua di kampung nak minta bantuan, tapi masih tak cukup. Nak tak nak, Kimal terpaksa jual kereta. Itu sajalah barang berharga yang ada.

Mahkamah akhirnya jatuhkan hukuman, penjara 2 tahun dengan 3 sebatan. Kimal tak boleh nak buat apa dah. Dah tertulis perjalanan hidup abangnya macam tu.

Sepanjang tempoh Apaq meringkuk dalam penjara, Kimal tak pernah lupa datang melawat. Setiap bulan. Ya, macam itulah sayang adik kepada abang. Setiap kali berjumpa, soalan wajib yang ditanya, “Bila lagu kau nak keluar ni?”

Dua tahun dah berlalu. Hukuman Apaq sudah sampai penghujung. Masa untuk buka buku baru bagi Apaq.

Hari Apaq masuk penjara, Kimal rakam lagu. Hari Apaq keluar penjara, lagu Kimal pun keluar. Cantik betul susunan Tuhan.

Apaq dah jadi diri yang sebenar. Balik kampung tolong emak ayah jual kuih. Kimal pun sekarang dah ada band sendiri, Margasatwa. Lagu Margasatwa jadi penyedap telinga aku setiap hari.

” Muka masih basah disimbah masalah,

Tubuhku menggigil kerna menahan marah,

Wajahmu mencuka malah mendabik dada,

Lemah aku lemah kau degil lagi menyusah.”

“Lagu apa ni? Lirik acah-acah deep.” Tegur seorang kenalan.

“Ego, tajuk lagu ni Ego.” Ringkas aku jawab. Biarlah orang lain nak cakap acah deep ke apa ke. Bagi aku, siapa yang tahu cerita disebalik lagu ni, ia bukan sekadar lagu tapi luahan hati adik yang sayangkan abangnya.

Video ini dibawakan oleh Luncai Emas

salor30

Programmer. Musician. #YOLO

Tambah komen

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di