Siakap Keli

47% Belia Tanggung Hutang Kad Kredit Tinggi – BNM

Sebanyak 47 peratus belia Malaysia menanggung hutang kad kredit yang tinggi manakala 38 peratus dikenal pasti membuat pinjaman peribadi, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Nazrul Hisyam Mohd Noh.

Nazrul Hisyam berkata pada 2017, lebih daripada 3,400 orang yang berusia antara 20 dan 30 tahun mendapatkan kaunseling dan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Saya cabar anda semua untuk lari daripada stereotaip generasi muda tidak celik kewangan dan tidak menyumbang kepada statistik ini,” katanya dalam ucapan beliau semasa acara akhir pertandingan #IDAREYOUChallange 2017, di sini, hari ini.

Pertandingan  #IDAREYOUChallange, yang diadakan oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Kementerian Pendidikan, memilih pembentangan pemasaran dan video terbaik mengenai kepentingan insurans hayat daripada 10 finalis yang mewakili empat universiti.

Sementara itu, Presiden LIAM, Anusha Thavarajah berkata 56 peratus daripada rakyat Malaysia ketika ini memiliki perlindungan insurans, dengan angka itu dijangka mencecah 75 peratus menjelang 2020.

Beliau berkata beberapa syarikat insurans telah melancarkan skim “Perlindungan Tenang” yang menyasarkan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dengan bayaran sehingga serendah RM3.80 sen sebulan.

“Halangan utama kita adalah kurang kesedaran mengenai insuran dalam kalangan rakyat. Kami berharap dengan pertandingan ini, lebih banyak kesedaran dapat diwujudkan terutamanya dalam kalangan belia,” katanya.

Pertandingan #IDAREYOUChallange itu dimenangi oleh Lee Ming Chin daripada Universiti Malaya, yang membawa pulang hadiah utama wang tunai berjumlah RM15,000. Beliau juga memenangi anugerah video terbaik dengan hadiah bernilai RM2,000. – Bernama

Nur Farra