Siakap Keli

Duit Tak Hilang, Cuma Baki Minimum Tidak Ditunjukkan – BSN

Sejak beberapa hari lalu tular di media sosial yang dimuat naik oleh beberapa orang netizen yang berkongsi dakwaan kehilangan wang dalam simpanan akaun Bank Simpanan Nasional (BSN).

Ada antara netizen-netizen ini mendakwa berlaku potongan sehingga tiada langsung baki dalam akaun masing-masing. Sebahagian pula mengaitkan ‘kehilangan’ duit ini dengan pengumuman BSN sebelum ini yang membuat kemas kini sistem.

Bagaimanapun BSN melalui satu kenyataan terbaru yang dimuat naik ke Facebook sebentar tadi membuat penjelasan bahawa tidak berlaku sebarang pemotongan dalam akaun simpanan pelanggan-pelanggannya.

”Tiada sebarang pemotongan atau pengurangan wang dalam akaun simpanan anda. Ini adalah kerana sistem memaparkan jumlah baki untuk pengeluaran, tidak termasuk dengan jumlah baki minimum pelanggan (mengikut jenis akaun)”, menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sejumlah RM 10 perlu dikekalkan dalam akaun sebagai jumlah minuman yang harus disimpan dalam akaun simpanan pelanggan.

Sebagai contoh, sekiranya pelanggan mempunyai simpanan sebanyak RM 20, baki yang dipaparkan pada mesin pengeluaran duit semasa semakan akan menunjukkan jumlah RM 10. Ini disebabkan jumlah baki minimun (RM 10) yang perlu dikekalkan tidak dipaparkan. Jika pengguna hanya mempunyai baki dalam akaun sebanyak RM 10, maka jumlah yang dipaparkan adalah RM 0.

”Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, sistem akan memaparkan baki sebenar akaun pelanggan, dalam masa terdekat ini,” dipetik daripada kenyataan itu lagi.

Para pelanggan yang ingin mendapatkan penjelasan boleh menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN  di talian 1300-88-1900.

Sumber : Bank Simpanan Nasional

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.