Siakap Keli

Kerajaan Umum Gaji Minimum Baru Untuk Pekerja Sektor Swasta

Isu gaji adalah antara perkara yang sering disebut-sebut oleh orang awam ketika ini, terutamanya buat mereka yang terlibat dalam sektor pekerjaan ‘makan gaji’.

Ketika penjawat-penjawat awam menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan selaku majikan, nasib yang berbeza pula dihadapi oleh pekerja-pekerja di sektor swasta terutamanya membabitkan soal gaji minimum.

Buat masa sekarang pekerja sektor swasta menikmati gaji minimum RM 1000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia manakala RM 920 bagi Sabah dan Sarawak. Namun, melalui satu kenyataan akhbar yang diterbitkan oleh Pejabat Perdana Menteri sebentar tadi, ada berita gembira sebenarnya buat pekerja sektor swasta.

Melalui kenyataan akbar tersebut, kerajaan mengumumkan paras baru gaji minimum untuk sektor swasta dengan berlakunya peningkatan.

”Kerajaan buat pertama kalinya bersetuju untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak iaitu RM 1,050 sebulan (RM 5.05 sejam),” kata kenyataan tersebut yang menyebut bahawa pelarasan terbaru itu akan berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.

Kenyataan tersebut bagaimanapun melaporkan bahawa kerajaan tidak akan memberikan sebarang subsidi kepada mana-mana majikan kerana kekangan kewangan semasa negara.

”Peningkatan gaji minimum ini adalah selaras dengan situasi ekonomi semasa negara. Kita harus waspada bahawa sebarang peningkatan gaji yang drastik bakal menimbulkan masalah yang lain kepada industri yang juga boleh menggugar daya saing negara,” kata kenyataan itu lagi.

Oleh itu katanya, peningkatan secara berkala dari tahun ke tahun adalah lebih wajar supaya industri, terutamanya majikan kecil tidak menghadapi masalah sehingga perlu menutup perniagaan akibat peningkatan kos operasi dan menjejaskan masa depan pekerjanya.

Kerajaan pada masa yang sama juga berharap majikan tidak mengambil kesempatan dengan meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan susulan pengumuman gaji minimum baharu.

”Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dimohon untuk memantau perkara tersebut,”.

Sumber : Kementerian Sumber Manusia

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.