Siakap Keli

(Video) Tular Golongan Pelacur Layak Terima Zakat, Apa Maksud Asnaf Al-Riqab Sebenarnya

Sebentar tadi,viral di media sosial apabila terdapat beberapa orang netizen yang berkongsi gambar berkenaan golongan asnaf yang layak menerima zakat. Gambar yang dikongsi tersebut diambil ketika siaran langsung berita di salah sebuah stesen televisyen swasta popular tanah air.

Berdasarkan gambar tersebut, netizen tertanya-tanya apabila antara golongan layak mendapat bantuan zakat termasuklah pengamal hubungan sejenis atau pun yang biasa disebut sebagai Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). Selain LGBT, kumpulan lain yang turuk layak menerima zakat adalah pelacur dan orang Islam yang bersekedudukan dengan orang bukan Islam.

Lebih menarik lagi, kesemua senarai tersebut diletak di bawah senarai ‘Asnaf Al-Riqab’. Apakah yang dimaksudkan dengan asnaf al-riqab ini? Carian kami di internet membawa kami kepada beberapa artikel mengenai asnaf al-riqab yang pernah dilaporkan oleh sebuah portal berita tempatan sebelum ini termasuklah maklumat-maklumat yang dicapai daripada laman web Majlis Agama Islam negeri.

Maksud Asnaf Al-Riqab

Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada laman web Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, asnaf al-riqab membawa maksud ”memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penakhlukan samada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu dibawah kawalan orang-orang tertentu”.

Carian kami daripada laman web Majlis Agama Islam negeri lain turut memaparkan maksud yang sama. Bagaimanapun, kami berjaya menemui satu penulisan daripada sebuah akhbar berbahasa Melayu atas talian yang diterbitkan pada tahun 2012 yang turut dikongsikan oleh portal Lembaga Zakat Selangor.

Berdasarkan laporan portal berita tersebut, penerima zakat dalam ketegori asnaf al-riqab diletakkan pada posisi kelima dalam agama Islam iaitu dibelakang asnaf fakir, miskin, amil, dan mualaf.

Portal tersebut turut menyebut bahawa perkataan riqab adalah jamak daripada perkataan bahasa Arab, raqabah yang bererti budak (hamba) belian lelaki dan bukannya budak belian perempuan. Namun lapor portal itu lagi, dalam konteks pengamalan, al-riqab bukan sahaja terhad kepada hamba lelaki sebaliknya turut merangkumi hamba perempuan.

Dari segi maksud literasinya pula, portal berita itu menyebut bahawa perkataan al-riqab atau raqabah membawa maksud ‘leher’. Lapor portal berita itu, fuqaha bersetuju ia sebagai satu kiasan betapa perhambaan adalah satu bentuk belenggu yang mengikat seseorang itu daripada menikmati kebebasan.

Maka dengan itu, Allah mengizinkan zakat diberi kepada mereka sebagai satu usaha untuk memerdekan mereka. Malah, ia sebagai satu simbol betapa Islam amat meraikan kebebasan manusia daripada diperhambakan (dibelenggu) sesama manusia.

Senarai Penerima Zakat asnaf Al-Riqab

Berdasarkan senarai yang diterbitkan oleh Mufti Selangor, penerima asnaf al-riqab dibahagikan kepada dua bahagian iaitu mereka yang mengalami masalah sosial dan mereka yang menghadapi masalah akidah.

Mereka yang diletakkan di bawah senarai Masalah Sosial adalah :

a) Tebelenggu dengan dadah

  1. Penagih dadah.
  2. Bekas penagih dadah.

b) Terbelenggu dengan masalah jenayah syariah

  1. Minum arak.
  2. Zina.
  3. Judi.
  4. Khalwat.
  5. Buang anak.
  6. Mengandung luar nikah.
  7. Mempersendakan Al-Quran dan Hadis.
  8. Sumbang mahram.
  9. Persetubuhan haram.
  10. Muncikari (ibu ayam).
  11. Menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam.
  12. Dan lain-lain yang berkaitan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri
    Selangor) 1995.

c) Terbelenggu dengan amalan salah Islam

  1. Tidak solat.
  2. Tidak puasa.
  3. Buang anak.
  4. Usaha ingin bunuh diri.
  5. Hidup bersama pelacur.

d) Terbelenggu dengan gaya hidup sonsang

  1. Pelacur.
  2. Lesbian.
  3. Mak Nyah (Transexual).
  4. Gay.
  5. Homoseksual.
  6. Gigolo.
  7. Biseksual.
  8. Pengkid.
  9. Tomboy.
  10. Bersedudukan dengan orang bukan Islam

e) Terbelenggu dengan kes juvana

  1. Gangster.
  2. Jenayah melibatkan harta benda.
  3. Pergaduhan yang nelibatkan kecederaan.
  4. Kes rompak.
  5. Pecah rumah.
  6. Kes rogol.
  7. Jenayah yang melibatkan peralatan senjata yang merbahaya.
  8. Ugutan yang melibatkan keganasan.

f) Terbelenggu dengan penyakit kronik

  1. Penyakit HIV/AIDS.
  2. Kanser/barah.
  3. Tibi.
  4. Hepatitis.
  5. Dan lan-lain.

Manakala mereka yang termasuk dalam senarai Masalah Akidah adalah :

a) Terbelenggu dengan masalah syirik dan khurafat

  1. Doktrin palsu.
  2. Mengaku menjadi nabi.
  3. Menghina Islam.
  4. Pemujaan salah.
  5. Mempersendakan Al-Quran dan Hadis.

b) Memurnikan akidah orang Islam yang terpesong

  1. Orang yang ingin/berhasrat murtad
  2. Orang yang dalam proses Istitabah.

Berdasarkan info daripada laman web Mufti Selangor lagi, zakat ini diberikan bertujuan untuk ”membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf Al-Riqab supaya dapat menjalani kehidupan sempurna secara Islam”.

Itulah serba sedikit maklumat mengenai asnaf al-riqab. Semoga bermanfaat.

Sumber : MUIP, Mufti Selangor, Lembaga Zakat Selangor

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.