Siakap Keli

Gempa 6.7 Magnitud Landa Hokkaido, Korban Meningkat 16 Orang Dan 26 Lagi Masih hilang

TOKYO: Mangsa gempa bumi yang menggegarkan utara pulau Hokkaido Jepun meningkat kepada sekurang-kurangnya 16 orang manakala 26 lagi masih hilang dalam kejadian yang berlaku pada awal Khamis, ujar Perdana Menteri Shinzo Abe hari ini.

Gempa itu melanda Hokkaido pukul 3.08 pagi waktu tempatan pada awal Khamis (1808 GMT Rabu), dan pusat gempa terletak di latitud 42.7 darjah utara serta longitud 142.0 darjah timur dengan kedalaman 40 kilometer sekaligus menyebabkan tanah runtuh yang meranapkan kediaman.

Lebih 5.3 juta penduduk di pulau yang terkenal dengan kawasan pergunungan, tasik dan makanan laut itu terputus bekalan elektrik dan kehilangan tempat tinggal selepas gempa bumi menyebabkan Hokkaido Electric Power Co terpaksa menutup loji kuasanya sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut menteri Industri, Hiroshige Seko, kuasa elektrik akan kembali pulih sepenuhnya dalam masa sekurang-kurangnya seminggu.

Bencana alam  itu adalah bencana besar kedua yang melanda Jepun minggu ini selepas dipukul taufan, banjir dan gelombang haba.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai juga masih ditutup selepas Taufan Jebi membadai Osaka pada Selasa, namun beberapa penerbangan tempatan kendalian Japan Airlines (JAL) dan penerbangan tambang murah, Peach Aviation kendalian ANA kembali beroperasi hari ini.

Lapangan terbang utama Hokkaido, New Chitose sedang membuat persiapan untuk menggerakkan beberapa penerbangan sekitar jam 11 pagi hari ini, ujar seorang jurucakap.

Operasi kereta api laju juga akan disambung semula tengah hari ini. Namun, masih banyak sektor perkilangan yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik.

Sumber- Reuters

Aisha Ratnila

"Don't be distracted by criticism. Remember the only taste of success some people get is to take a bite out of you."

- Zig Ziglar