Siakap Keli

Kakak Dirogol Dan Dibunuh, Adik Saksi Parah Dikelar Tapi Sempat Tulis Nota Angkara Siapa

Kejam. Itu yang dapat digambarkan mengenai satu kes rogol dan bunuh yang menggemparkan ramai di negeri Uttar Pradesh, utara India baru-baru ini.

Dalam tragedi yang berlaku itu, seorang gadis berusia 14 tahun dirogol secara kejam dan dibunuh oleh dua lelaki yang merupakan orang terdekat mereka.

Adik lelaki mangsa yang berusia 10 tahun yang menjadi saksi kepada kejadian turut diserang dengan pisau secara kejam.

Pada mulanya, polis mengesyaki kes tersebut disebabkan oleh kejadian rompakan, tetapi adik mangsa yang terlantar di katil hospital sempat menulis nota sebelum keadaanya bertambah kritikal, menceritakan kejadian sebenar yang berlaku.

Rupa-rupanya pelaku adalah dua orang yang dipercayai oleh keluarga mangsa yang telah bekerja sebagai orang gaji kepada keluarga mereka selama beberapa tahun.

Susulan itu, polis telah menahan seorang tertuduh manakala tertuduh kedua berjaya melarikan diri.

Jenayah itu berlaku di bandar Hapur pada Rabu ketika dua beradik itu dibawah jagaan tertuduh, dikenal pasti sebagai Ankur dan Sanni berusia 20-an.

Difahamkan, Ankur telah bekerja dengan keluarga mangsa sejak enam tahun lalu, manakala Sanni pula diambil bekerja kira-kira empat tahun lalu.

Bapa mangsa yang memiliki ladang tenusu tiada di rumah ketika kejadian kerana keluar atas urusan kerja. Kebetulan, ibunya pula menziarahi saudara mereka.

Menurut siasatan polis, gadis malang itu pulang ke rumah awal pada tengahari rabu lalu kerana perayaan hari guru.

Setibanya di rumah, kedua-dua tertuduh mengambil kesempatan merogol mangsa ketika berseorangan. Mereka bergelut kerana mangsa cuba mempertahankan diri.

Tanpa belas kasihan, kedua-dua tertuduh membunuh mangsa serta cuba menyembunyikan mayatnya di bawah lantai rumah.

Pada masa sama, adik lelakinya yang kebetulan berada di tempat kejadian dan menyaksikan serangan itu turut dikelar di leher bagi menghapuskan bukti.

Panik dengan keadaan itu, kedua-dua tertuduh bertindak menyelerakkan rumah seolah-olah berlaku satu rompakan.

“Adik lelaki mangsa menerima kecederaan yang teruk dan tidak mampu bercakap tetapi sempat menulis nota memberi petunjuk kepada polis sehingga jenayah sebenar terbongkar,” kata Ketua Polis Hapur, Superintendan Sankalp Sharma.

Katanya lagi, hasil bedah siasat menunjukkan mangsa yang dijumpai dalam keadaan separuh bogel telah bergelut dengan tertuduh sebelum dibunuh.

Sementara itu, pegawai penyiasat Inspektor Ram Kumar berjanji kepada keluarga mangsa bahawa tertuduh kedua bakal dicekup tidak lama lagi.

Kejam dan tidak berperikemanusiaan. Setuju atau tidak penulis katakan kes ini umpama harapkan pegar, pegar makan padi !

Sumber : Times of India

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.