Siakap Keli

Kantoi Rakam Bawah Skirt Perempuan, Pegawai Timbalan Menteri KDN Terima Padah

Semalam, tular di media sosial rakaman tindakan tidak bermoral seorang individu yang merupakan pegawai kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Azis Jamman, merakam bahagian bawah skirt seorang wanita.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika pegawai berkenaan menemani Dato’ Azis untuk mendapatkan rawatan pemeriksaan mata. Pegawai berkenaan mungkin tidak menyedari bahawa tindakan memalukan tersebut sebenarnya dirakam melalui Kemera Pengawasan Litar Tertutup (CCTV) yang dipasang pada premis tersebut.

Wanita berkenaan yang menjadi mangsa kepada pegawai tersebut kemudian membuat laporan polis dan mendakwa kejadian berkenaan berlaku sekitar pukul 11 pagi di Publika Solaris, Duta Mas di Kuala Lumpur, 8 September.

Mangsa turut menjelaskan melalui laporan yang sama bahawa dia merasa curiga dengan tindakan pegawai berkenaan yang berada di belakangnya ketika pemeriksaan mata dijalankan terhadap Dato’ Azis. Dia kemudian memeriksa rakaman CCTV sebelum menuju ke balai polis untuk membuat laporan.

Dato’ Azis melalui satu kemas kini yang dimuat naik di laman facebooknya kemudian mengesahkan kejadian tersebut memang berlaku dan tindakan serta merta telah diambil terhadap pegawai berkenaan.

”Tindakan dan perbuatan sedemikian adalah terkutuk dan keji. Saya juga mengambil keputusan untuk bertindak tegas terhadap pegawai tersebut yang membuat rakaman itu.

”Selepas membuat pertimbangan, keputusan untuk memecat pegawai tersebut dibuat serta-merta kerana tindakan tersebut yang menjejaskan imej dan kredibiliti saya selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri dan pejabat Timbalan Menteri,” kata beliau.

Dato’ Azis juga turut memaklumkan perbuatan keji yang dilakukan oleh pegawai terbabit berlaku di luar pengetahuannya.

Beliau kemudian membuat permohonan maaf atas kejadian berlaku dan memberitahu bahawa perbuatan pegawai tersebut tiada kena-mengena dengan pegawai-pegawai lain di yang bertugas bersamanya serta di Pejabat Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Sumber : Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.