Siakap Keli

P.Pinang Rayu PM, KDN Timbang Penubuhan Semula PPS

GEORGE TOWN, 10 Sept (Bernama) — Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membuat rayuan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertimbangkan penubuhan semula Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata pihaknya akan menghantar surat dan laporan mengenai pasukan itu kepada Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan proses pertimbangan dan kelulusan penubuhan semula PPS.

“Saya percaya bahawa banyak rakyat di negeri ini yang merayu dan mahu PPS dihidupkan semula. Mereka kata sekarang kami sudah jadi kerajaan (persekutuan), jadi lebih mudah (untuk menubuhkan semula PPS).

“Ya, kami memang sudah jadi kerajaan tetapi kami tidak akan salah guna kuasa. Jadi, kami akan buat rayuan kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri semoga mereka boleh bagi pertimbangan dan percepatkan kelulusan PPS,” katanya pada persidangan media di sini, hari ini.

Beliau berkata kes PPS telah dibawa ke mahkamah dan sehingga sekarang belum ada keputusan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang turut hadir pada sidang media itu berkata beliau akan membawa perkara itu untuk perhatian Kabinet dan Perdana Menteri.

Beliau berkata walaupun Mahkamah Rayuan telah memutuskan PPS ditubuhkan secara sah oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, namun pihaknya mahu sokongan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk penubuhan semula pasukan sukarela itu.

“Kita hanya tunggu keputusan yang terakhir daripada Mahkamah Persekutuan. Jadi, sementara menunggu keputusan saya minta mereka (Kerajaan Negeri) buat laporan untuk ditunjukkan kepada Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri supaya ia dapat diluluskan dan PPS boleh hidup balik di Pulau Pinang,” katanya.

Kes itu kini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas mahkamah paling tinggi itu membenarkan Kerajaan Persekutuan ketika itu, Barisan Nasional, untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan PPS ditubuhkan secara sah oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Pada 28 Mac tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat mengisytiharkan PPS ditubuhkan secara sah selepas membenarkan rayuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 22 Nov 2016 yang memutuskan PPS sebuah pertubuhan haram kerana tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan.

Kerajaan Negeri pada 27 Jan 2015, memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar perintah KDN ketika itu yang mengisytiharkan PPS sebuah pertubuhan haram.

PPS ditubuhkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2009 dengan objektif membantu Kerajaan Negeri membanteras jenayah selain menjaga kebajikan dan keselamatan awam penduduk Pulau Pinang yang berkhidmat secara sukarela.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.