Siakap Keli

Pesara Guru Rugi RM317,500 Ditipu Sindiket ‘Macau Scam’

Seorang pesara guru kerugian RM317,500 apabila menjadi mangsa kepada sindiket Macau Scam selepas mengeluarkan wang simpanannya dan kemudian mendepositkannya ke dalam akaun pihak yang tidak dikenali, Selasa lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt KS Mender Singh berkata wanita berumur 60 tahun itu ditipu setelah menerima panggilan daripada seorang lelaki pada kira-kira 10.30 pagi yang menyamar sebagai kakitangan mahkamah.

Beliau berkata panggilan berkenaan kemudiannya disambungkan kepada pihak polis bagi meyakinkan mangsa bahawa dia mempunyai kesalahan yang perlu tindakan segera untuk diselesaikan.

“Suspek menyatakan bahawa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit dan dalam masa yang sama, kad kredit terbabit digunakan oleh individu lain untuk melakukan jenayah.

Mangsa terkejut apabila dia disyaki terlibat sama dengan urusan pengedaran dadah dan kad kredit terbabit juga terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mender Singh berkata mangsa yang takut dengan tuduhan tersebut terus mengikut segala arahan suspek dengan memberikan butiran akaun bank miliknya kepada suspek yang ‘kononnya’ diperlukan bagi siasatan lanjut dalam kedua-dua kes berkenaan.

“Mangsa diarahkan untuk melakukan deposit tunai sebanyak RM317,500 dan wangnya akan dikembalikan  sebaik siasatan selesai, yang dikatakan tidak sampai tempoh 30 minit.

Mangsa akhirnya menyedari ditipu apabila tidak menerima semula wangnya seperti dijanjikan dalam tempoh 30 minit selain gagal menghubungi nombor telefon suspek,” katanya.

Beliau berkata mangsa kemudian membuat laporan polis dibuat di Balai Polis Batu Pahat dan polis kini sedang mengesan suspek yang dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes sama sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Mender Singh berkata pihaknya kini giat membanteras kegiatan judi di daerah ini dan sudah melakukan 27 serbuan pada minggu lepas.

Beliau berkata pihaknya menahan 27 individu yang terlibat dalam kegiatan itu selain wang tunai RM3,333 dan peralatan yang digunakan termasuk sebuah tablet untuk kegiatan judi dalam talian.

“Pihak polis kini turut mengadakan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bagi mengesan pemilik premis yang digunakan dalam aktiviti perjudian ini bagi merakamkan percakapan.

Kami juga menasihati pemilik premis agar tidak menyewakan kedai mereka kepada kegiatan yang menyalahi undang-undang, termasuklah judi. Sekiranya mereka (pemilik premis) mengetahuinya dan tiada laporan polis dilakukan, mereka juga akan menerima tindakan undang-undang,” katanya. – Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Tambah komen

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di