Siakap Keli

‘Dingin’ Di Negara Sendiri, Tapi Filem One Two Jaga Tercalon Kategori Filem Terbaik Asia Di Festival Filem Dunia

Sebuah portal berita berbahasa Melayu tempatan hari ini melaporkan filem One Two Jaga telah dicalonkan ke 12th Five Flavours Asians Film Festival dalam kategori Grand Prix (Filem Terbaik Asia). Walaupun karya arahan Nam Ron itu mendapat sambutan dingin di negara sendiri, nampaknya negara luar memandang tinggi buah tangannya kali ini.

Portal berita yang sama turut melaporkan One Two Jaga bakal bersaing dengan sembilan lagi filem terbaik Asia yang bakal berlangsung di Warsaw, Poland bermula 14 hingga 21 November depan.

Melalui portal berita yang sama, Nam Rom dilapor melahirkan perasaan gembira dengan pencalonan tersebut dan menganggap berita berkenaan sebagai satu kebanggaan kepada seluruh pasukan produksi filem berkenaan.

Nam Ron pada masa yang sama turut memaklumkan bahawa ini bukanlah kali pertama mereka menerima pencalonan daripada luar negara  kerana sebelum ini pernah dicalonkan ke festival filem di Amerika Syarikat, Itali dan China bagi kategori Filem Terbaik Asia.

Lapor portal berita itu lagi, Nam Ron beranggapan bahawa 12th Five Flavours Asians Film Festival bukanlah sebuah festival yang boleh dipandang sebelah mata, sekaligus membuktikan karya tempatan juga dipandang tinggi oleh orang luar.

Berdasarkan maklumat yang dimuat naik di laman facebook FINAS Malaysia, Five Flavours Asians Film Festival merupakan sebuah ”festival berprestij yang mendukung kepada pembangunan seni dan budaya melalui jaringan sinema dunia dan menjadi platform tayangan dan apresiasi melalui pemilihan juri bagi filem-filem kontemporari berkualiti dari seluruh Asia di Eropah”.

Menurut FINAS lagi, festival filem ini dianjurkan oleh Arteria Art Foundation dan menerima sokongan daripada Warsaw City Council, Polish Film Institute, Ministry of Culture and National Heritage of Poland, Japan Foundation, Hong Kong Economic Trade Office, Create HK, HK Film Development Fund dan Asia-Europe Foundation (ASEF).

Sebelum ini, selain One Two Jaga, filem-filem Malaysia yang pernah dicalonkan ke festival yang sama teramsuklah Bunohan, Interchange, Songlap, Hanyut dan Jagat.

Sehingga Isnin, portal itu menyebut filem yang menampilkan barisan pelakon hebat tanah air antara Bront Palarae, Vanidah Imran, Dr. Rosdeen Suboh  serta pelakon daripada Indonesia dan Filipina itu berjaya meraih kutipan sebanyak RM 65 ribu.

Sumber : FINAS Malaysia

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.