Siakap Keli

Perodua, Honda Antara 5 Jenama Kereta Turun Harga Selepas SST – Menteri Kewangan

Berita baik bagi anda yang ingin membeli kenderaan. Sekurang-kurangnya lima jenama kenderaan menyaksikan penurunan harga antara RM2,000 hingga RM3,000 selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Lima jenama kenderaan itu termasuklah bagi model Perodua,  Honda,  Toyota,  BMW dan Volkswagen.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam menerusi satu portal berita.

Beliau menjelaskan bahawa penurunan harga kenderaan itu adalah selari dengan hasrat kerajaan baharu  untuk menjamin kesejahteraan rakyat berikutan pelaksanaan SST.

“Saya telah memperoleh maklumat bahawa ada beberapa jenis kereta yang harganya jika dibandingkan dengan (ketika dilaksanakan) Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah lebih rendah.

“Ini kerana kita tidak kutip begitu banyak berbanding GST, harga barangan boleh lebih kurang dan ia juga dilaksanakan oleh kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya kepada satu sumber.

Menurut beliau, harga sebuah kereta Proton Axia selepas pelaksanaan SST adalah RM40,390 berbanding RM41,497 iaitu penurunan sebanyak RM1,107 semasa dikenakan cukai GST.

Harga terkini bagi kereta Myvi 1.5 pula adalah RM54,090 berbanding RM55,300, Honda Jazz 1.5 berharga RM83,633 berbanding RM85,750, Toyota Vios RM93,200 berbanding RM93,980 manakala kereta jenis Volkswagen Polo hanya RM74,900 berbanding harga semasa dikenakan GST iaitu RM76,888.

Tambah beliau, kereta jenama BMW 118i turut menyaksikan penurunan harga sebanyak RM3,000 iaitu RM185,800 dari RM188,800 sebelum ini.

Difahamkan sebelum ini, syarikat pengeluar kereta, Perodua telah mengeluarkan kenyataan berhubung  penurunan harga bagi model tertentu keluarannya antara 1 hingga 3 peratus susulan perlaksanaan SST.

Berikutan itu, Perodua telah mengeluarkan senarai harga baharu untuk semua kenderaannya, antara 1 hingga 3 peratus lebih rendah  berbanding 6 peratus dibawah GST bermula 1 September lalu.

Pada masa sama turut mengumumkan penurunan harga kenderaan ialah Honda Malaysia yang bertindak menyelaraskan harga model kenderaan dan perkhidmatannya selepas jualan.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.