Siakap Keli

(Video) Wanita Ini Bangunkan Semula Gaza Dengan Inovasi Bata Berkualiti Tinggi Daripada Sampah

Dua orang jurutera muda Palestin nyata mempunyai idea yang tersendiri dan kreatif untuk mengatasi masalah kekurangan simen di Gaza. Caranya, mereka menghasilkan batu-bata berkualiti tinggi dengan hanya menggunakan sampah sarap yang ditemui di sekitar bandar berkenaan.

”Dari tahun 2014 sehinggalah sekarang (2017), masih terdapat rumah yang kian musnah akibat tidak dapat dibaiki dan pemiliknya tidak dapat membaikinya kerana kekurangan sumber,” kata seorang gadis, Majd Mashharawi yang bergandingan dengan Rawan Abdulatif di peringkat awal pembangunan produk inovasi berkenaan.

”Ketika saya di tahun empat di kolej, saya terfikir bagaimana caranya saya mahu menamatkan semua penderitaan ini,” katanya berdasarkan sekatan yang dibuat oleh Israel ke atas Gaza sejak 2007 lagi. Malah, selepas 2014, sekatan tersebut bertambah teruk dan hanya sedikit sahaja barangan dibenarkan dibawa masuk ke Gaza.

Berdasarkan laporan antarabangsa, daripada keseluruhan bahan mentah seperti simen yang diperlukan oleh Gaza, hanya satu pertiga sahaja benar-benar sampai ke pintu sempadan Gaza. Kesannya, walaupun penduduk berpeluang untuk mendapatkan sumber berkenaan, mereka terpaksa membayar harga yang sangat mahal disebabkan jumlah yang terhad. Jadi, lebih ramai yang memilih untuk hidup secara gelandangan disebabkan tidak mampu menyediakan wang bagi membina semula rumah masing-masing.

Ketika Mashharawi dan Abdulatif mahu mencari alternatif kepada simen, mereka menyedari terdapat kesukaran untuk mendapatkan bahan kimia yang diperlukan. Disebabkan itu, mereka kemudian mula bereksperimen dengan bahan mentah, lebih tepat lagi sampah sarap tempatan untuk menghasilkan batu bata.

Di peringkat awal, mereka menghasilkan batu bata daripada kertas yang mereka gelarkan sebagai ”papercrete”, dan ianya berjaya. Selain dapat menyediakan bahan untuk binaan, ia juga menawarkan penyelesaian kepada masalah sampah kertas yang dialami oleh Gaza, memandangkan bandar berkenaan tidak mempunyai sistem kitar semula. Namun begitu, mereka menyedari bahawa bata yang dihasilkan daripada kertas berbanding simen menelan belanja yang mahal dan tidak mungkin orang ramai dapat membayar harga setimpal terhadap produk keluaran mereka.

Mereka kemudian cuba menghasilkan batu-bata berasaskan tanah liat pula, namun mendapati ia melibatkan proses yang sangat lama dan menyusahkan apabila ia perlu dijemur lama di bawah matahari. Akhirnya, untuk kali ketiga, mereka berdua mendapat idea untuk menghasilkan batu bata yang sangat-sangat diperlukan itu dengan menggunakan abu arang daripada kayu dan arang batu yang dibakar untuk menghasilkan sumber tenaga tempatan, mereka akhirnya berjaya mendapatkan produk yang ideal dengan bahan mentah yang murah. Sebelum ini, lira-kira enam tan abu dibuang begitu sahaja setiap minggu.

Bagaimanapun, ia tidaklah begitu muda walaupun mereka berdua sudah menemui ramuan yang tepat. Beratus-ratus sampel ujian makmal terpaksa dilalui oleh Mashharawi sebelum berjaya mendapatkan produk akhir.

”Staf-staf di makmal tempat saya buat ujian sering mentertawakan usaha yang saya lakukan. ‘Apa yang kamu buat’, ‘Kamu mahu bina rumah daripada sampah, serius?’ adalah antara kata-kata yang mereka sering tujukan pada saya.

”Ia sangat sukar diperingkat awal. Terutamanya jika anda seorang perempuan,” katanya.

”Penduduk disini masih mengekalkan ciri-ciri tradisional. Mereka masih beranggapan yang wanita harus tinggal di rumah, berkahwin, mempunyai anak dan memasak, dan sudah tentu tidak terlibat dalam pekerjaan yang dikuasai lelaki.

”Setiap kali saya ke kilang, akan ada pekerja-pekerja lelaki yang meminta saya ke tepi dan membiarkan mereka melakukan tugas-tugas tersebut.

”Malah, saudara-mara saya juga sering berpesan supaya saya tidak membuang masa menghasilkan bata dan menyuruh saya berkahwin. Ia sangat sukar untuk orang tempatan menerima hakikat bahawa wanita juga boleh melakukan sesuatu,” katanya.

Kedua-dua mereka kemudian berjaya menghasilkan satu prototaip pada Ogos 2014 dan menjelang awal tahun 2105, mereka akhirnya berjaya menghasilkan produk akhir yang boleh berfungsi dengan baik yang dikenali sebagai Greencake, batu-bata yang kuat dan lebih murah daripada batu-bata dihasilkan daripada simen serta lebih ringan (‘cake’ merujuk kepada struktur batu-bata tersebut yang mempunyai liang-liang udara).

Walaupun rekaan yang dihasilkan mereka berdua bukanlah pertama seumpamanya di dunia, namun keupayaan merekan untuk menghasilkan produk sebegitu di dalam persekitaran yang mencabar sungguh membanggakan. Malah mereka turut menggunakan terknik terbaru, iaitu menggunakan stim berbanding penggunaan teknologi haba tinggi yang lain untuk mengeraskan bata-bata tersebut.

Produk berkenaan di bawa menyertai pertandingan Japan Gaza Innovation Challenge, sebuah pertandingan yang dianjurkan oleh kerajaan Jepun bertujuan menghasilkan inovasi baru untuk memperbaiki taraf hidup penduduk Gaza. Greencake berjaya mendapat tempat pertama, seterusnya sampel bata tersebut diterbangkan ke Jepun untuk kajian lebih lanjut dan diuji dengan ujian yang lebih menyeluruh seperti ketahanan terhadap api dan pelbagai lagi. Mashhawari juga kemudian turut terbang ke Jepun untuk bekerjasama dengan pasukan penyelidik di sana untuk menambah baik kualiti Greencake.

Pada tahun 2016, dengan bantuan dana inkubutor tempatan, Mobaderoon III, pada September 2016 mereka berjaya mengeluarkan produk batu-bata Greencake pertama kali secara komersial. Untuk menarik perhatian pembeli, mereka membina penempatan khas untuk juruterbang sebagai demonstrasi, dan orang ramai mula membeli produk mereka yang lebih murah.  Mashhawari  ketika ini menyewa satu tapak di sebuah kilang di Gaza serta menggajikan seramai 10 orang pekerja untuk menghasilkan Greencake. Dia kini sedang giat mencari dana tambahan daripada penaja-penaja untuk memperbesarkan perniagaannya. Abdulatif juga tidak lagi terlibat dalam perniagaan berkenaan.

Mashhawari juga terlibat dalam program fellowship di Boston, Amerika Syarikat yang membantu usahawan muda untuk memajukan perniagaan mereka. Malah, Mashhawari  turut bertindak sebagai orang tengah yang menghubungkan usahawan-usahawan muda daripada Gaza dengan usahawan-usahawan daripada Amerika Syarikat. Greencake juga pernah berjaya ke peringkat akhir dalam 2017 Index Awards.

”Saya cuma mahu berpesan, jika anda ada cita-cita dan mahu meralisasikannya, cita-cita anda mampu menjadi realiti. Ia tidak mustahil jika anda percaya dengannya,”

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=vcdL72KX4rY] Sumber : Fast Company

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.