Siakap Keli

”Aku Tampar-Tampar Mulut Dia Sampai Berdarah”, Netizen Berang Bapa Mengaku Pukul Anak Kerana Sebut Babi

Melentur buluh biarlah daripada rebung. Betulah pepatah ini jika hendak dikaitkan dengan budaya mendidik anak-anak yang sepatutnya bermula daripada usia mereka masih kecil lagi. Bagaimanapun, untuk mendidik anak dengan cara yang betul, ibu bapa itu terlebih dahulu perlu melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan.

Yelah, di zaman ‘aku je yang betul, orang lain salah’ ini, kita seringkali dihidangkan dengan pelbagai kes penderaan kanak-kanak yang mana ibu bapanya mendakwa untuk tujuan mendidik dan menafikan bahawa mereka bertindak demikian atas tujuan penderaan.

Anda tentu ingat suatu ketika kes seorang kanak-kanak di temui dirantai pada tong gas di sebuah dapur dilaporkan oleh media. Bapa kepada mangsa mendakwa, dia bertindak demikian kerana anaknya degil dan tidak mahu ke sekolah.

Sama seperti isu yang tular baru-baru ini apabila keratan screenshoot seorang lelaki yang meninggalkan komen di sebuah perkongsian Facebook telah mencetuskan kemarahan netizen.

Dalam perkongsian di fb page berkenaan yang memuat naik sebuah video mengenai keletah seorang kanak-kanak, lelaki berkenaan mengaku pernah memukul anaknya gara-gara satu soalan, yang pada kami dan netizen lain, soalan normal ditanya oleh seorang kanak-kanak yang bersifat ingin tahu.

Kata lelaki berkenaan, anaknya telah bertanya mengenai haiwan yang dilarang untuk dimakan di dalam Islam iaitu khinzir. Bagaimanapun yang membuatkan netizen geram adalah respon yang diberikan oleh lelaki tersebut terhadap soalan anaknya.

”Alhamdulillah, anak-anak aku semua berbudi bahasa dari kecil. Pernah masa kecil-kecil anak yang sulong cakap, babah betul ke babi boleh makan? Aku cilikan mulut dia. Tampar-tampar sampai berdarah. Sejak tu dia takut, cakap benda baik je,” katanya.

Bagaimanapun respon lelaki berkenaan yang dianggap sebagai amat keterlaluan nyata menjemput ramai netizen untuk mengecam di komen lelaki berkenaan.

Seorang netizen kemudian dilihat meninggalkan komen yang beranggapan bahawa anak lelaki sekadar bertanya soalan, bukan niatnya untuk menyebut perkataan yang tidak elok.

Namun, si bapa berkenaan yang mungkin tidak berpuas hati membalas komen netizen berkenaan bahawa itu adalah caranya mendidik anak-anaknya.

Malah, beberapa orang netizen lain turut dilihat kurang senang dengan tindakan melampau lelaki berkenaan.

Bagaimanapun lelaki berkenaan tetap mempertahankan tindakannya dengan beranggapan bahawa apa yang dibuatnya adalah satu cara didikan yang betul.

Malah beliau beranggapan bahawa anaknya perlu dihukum hingga mengalami kecederaan berdarah mulut hanya semata-mata menyebut perkataan babi.

Bagaimana pendapat anda, adakah memukul anak anda sehingga cedera dan berdarah adalah cara terbaik untuk mendidik mereka? Apakah soalan kanak-kanak tadi yang inginkan jawapan sudah terjawab? Anda jawab.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.