Siakap Keli
Kredit foto: Hokkaido Guide

Teringin Nak Bercuti Sambil Main Salji? Hokkaido Banyak Tempat Menarik Yang Boleh Anda Lawati

Sebut sahaja negara Jepun, banyak perkara yang terlintas dalam kepala kita. Kereta berkuasa tinggi, filem-filem aksi dan cinta, One Piece, barangan elektronik, makanan-makanan pelik dan banyak lagi. Kalau nak disenaraikan satu persatu, mungkin dua hari anda baru habis baca artikel ni.

Selain perkara yang disebutkan di atas, tahukah anda, Jepun mempunyai 6,852 buah pulau dan empat pulau terbesar adalah Hokkaido, Honshu, Shikoku, dan Kyushu. Banyak tempat pelancongan menarik terdapat dalam 4 pulau besar tersebut, ditambah lagi dengan 4 musim yang berubah setiap tahun, menjadikan Jepun salah satu destinasi terbaik untuk dilawati.

Untuk pengetahuan anda semua, ketika ini Jepun berada dalam musim luruh sehingga November dan musim sejuk bakal menjelma pada Disember sehinggalah ke Februari.

Jadi, bagi anda yang gemarkan suasana musim luruh dan musim sejuk, inilah masa terbaik untuk pergi ke sana. Tambahan lagi, AirAsia sekarang ada menawarkan promosi tiket murah ke Hokkaido bagi penerbangan sehingga 31 Mac 2019 .

Nak tahu tempat-tempat menarik di sana? Jom kita selongkar 8 tempat menarik di Hokkaido yang boleh anda kunjungi sepanjang musim luruh dan musim sejuk ini.

1. Sapporo

Merupakan bandar terbesar di Hokkaido dan kelima tertinggi dari segi populasi di Jepun. Antara tempat menarik untuk dikunjungi adalah Sapporo Maruyama Zoo yang merupakan zoo tertua di Hokkaido.

Kredit foto: jnize

Tarikan utama di zoo ini adalah beruang kutub yang mana semua sudah tahu ia diancam kepupusan. Ini adalah peluang terbaik untuk melihat haiwan terbabit dengan lebih dekat. Zoo ini dibina dengan misi memberikan habitat semula jadi kepada haiwan supaya ia hidup dan bertindak mengikut naluri semula jadi.

Kredit foto: CLAD News

Sangat sesuai bagi anda yang sudah berkeluarga, lokasi ini bukan sahaja membolehkan anda melihat pelbagai haiwan unik, malahan si kecil juga pasti gembira dibawa bersiar-siar di sekitarnya. Pengalaman berjalan-jalan didalam Sapporo Maruyama Zoo semestinya tidak akan anda lupakan!

Kredit foto: Education Japan Community Blog

Bagi anda yang mempunyai keinginan bermain ski, Gunung Moiwa menawarkan aktiviti terbabit. Selain bermain ski, anda boleh menikmati pemandangan indah bandar Sapporo di waktu malam sambil menikmati hidangan enak di restoran.

Pemandangan dari Sapporo TV Tower

Nak lihat keindahan seluruh bandaraya Sapporo? Anda boleh nikmati pemandangan seperti diatas dari dek pemerhatian Menara TV Sapporo. Hanya mengambil masa 5 minit jika berjalan kaki dari stesen Odori. Di tingkat tiga menara yang sama, anda boleh menjamu selera disamping melihat pemandangan di Taman Odori dan Dataran Tinggi Ishikari.

2. Takino Suzuran National Park

Takino Suzuran merupakan taman negara berkeluasan lebih dari 395.7 hektar. Kawasan ini sesuai untuk dilawati oleh seisi keluarga dan anda yang menggemari suasana alam semula jadi.

Taman Negara Takino Suzuran dibahagikan kepada tiga zon. Zon Mountain Stream, memiliki 4 air terjun dan salah satunya adalah air terjun Ashiribetsu. Air terjun ini tersenarai sebagai 100 air terjun pilihan di Jepun.

Kredit foto: Hokkaido “Tabi” Guide

Zon seterusnya adalah Takino Forest yang kaya dengan tumbuhan alam semula jadi. Kawasan ini dilitupi dengan dedaunan yang kekuningan ketika musim luruh dan warnanya semakin menyerlah apabila memasuki bulan Oktober.

Kredit foto: Guilhem Vellut

Zon terakhir adalah Central Zone, di mana ia menyediakan fasiliti menarik untuk kanak-kanak seperti Children’s Valley Forest House.

Kredit foto: kouiki.chuo.sapporo.jp

3. Taman Nakajima

Kredit foto: Sapporo Travel

Terletak bersebelahan dengan daerah Susukino yang tersedia dengan pelbagai pusat beli-belah dan tempat hiburan, Taman Nakajima dikenali sebagai kawasan untuk istirehat. Ia juga berlatarbelakangkan Gunung Moiwa. Taman ini juga dipilih sebagai “100 Taman Perbandaran Paling Popular di Jepun”.

Kredit foto: Japan in Japan

Ada tasik, sungai, dan binaan bersejarah menghiasi sekitar taman Nakajima. Alangkah indahnya bersiar-siar bersama yang tersayang dan menghirup udara segar sambil menikmati 5000 pokok merangkumi pelbagai jenis. Anda pasti terlena dengan kedamaian di sini.

4. Blue Pond

Kredit foto: My Best Place

Jika anda pengguna Mac yang menggunakan sistem operasi OS X Mountain Lion, pastinya anda pernah melihat pemandangan tasik kebiru-biruan ini. Tasik ini telah menjadi tumpuan para pengunjung sejak 2-3 tahun kebelakangan ini.

Warna tasik ini juga dikatakan berubah-ubah mengikut musim dan cuaca. Dikatakan juga warnanya berubah apabila terdapat tiupan angin, dan ketika tiada angin, ia ibarat sebuah cermin yang luas terbentang.

Mengapa warnanya biru? Difahamkan Blue Pond terjadi kesan daripada bahan sampingan yang digunakan dalam pembinaan empangan di Sungai Biei. Empangan tersebut dibina bagi menghalang lumpur dari gunung berapi Tokachi yang meletus pada 1988.

5. Noboribetsu Onsen

Noboribetsu Onsen adalah resort kolam air panas paling popular di Hokkaido. Ia merupakan sebahagian dari Taman Negara Shikotsu-Toya. Air panasnya terhasil di kawasan yang dipanggil Jigokudani atau “Lembah Neraka” dan merupakan sumber air utama bagi Noboribetsu.

Kredit foto: Lonely Planet

Menyusuri denai dikelilingi bukit, anda boleh pergi ke Oyunuma dan di situ terdapat sebatang sungai dipanggil Oyunumagawa yang mengalirnya air panas di sepanjang hutan.

Kredit foto: Around Japan

Bercakap mengenai kolam air panas, terdapat satu lagi lokasi pilihan iaitu Yunokawa Hot Spring yang terletak di Hakodate. Menawarkan pemandangan yang tenang, pengunjung juga boleh melihat tarikan lain seperti “monyet salji” bermandi-manda dalam kolam air panas.

Kumpulan monyet ini boleh dilihat berendam memanaskan badan di dalam kolam air panas bermula Disember sehinggalah ke bulan Mei. Melihat gelagat monyet mandi air panas pastinya mencuit hati anda.

Kredit foto: 1tv.ge

6. Asahiyama Zoo

Sebuah lagi zoo terbaik yang boleh anda lawati adalah Asahiyama Zoo. Susun aturnya kemas dan tersusun dan anda boleh melihat haiwan sama ada dari kawasan tinggi mahupun secara dekat.

Kredit foto: Asahiyama Zoo

Terletak di hujung utara Jepun, ia khusus menempatkan spesis dari iklim sejuk. Terdapat lebih daripada 700 haiwan dari 124 spesis. Anda boleh lihat penguin berjalan dan berenang,  beruang kutub berenang riang dan anda juga berpeluang memberi makan kepada beberapa haiwan jinak yang lain.

7. Terusan Otaru

Kredit foto: Visit Hokkaido

Antara destinasi popular bagi pelancong sama ada dari dalam dan luar negara. Dibina pada 1923, ia adalah laluan kapal kecil yang menghantar barangan ke gudang. Pada tahun 1980-an, ada cadangan untuk menimbus terusan ini tetapi atas usaha penduduk setempat, ia kekal hingga ke hari ini dengan landskap yang mempesonakan.

Kredit foto: Zekkei Japan

Jika anda berkunjung pada bulan Februari, lebih spesifik pada 8 hingga 17 Februari, anda berpeluang merasai suasana festival Otaru Snow Light Path. Di sepanjang terusan ini, pengunjung akan dimandikan cahaya dari tanglung dan bandar yang dilimpahi salji untuk mencetuskan rasa senang dihati pengunjung. Bayangkan anda mendayung sampan bersama-sama insan tercinta menyusuri terusan ini, indah bukan?

8. Kubu Goryokaku

Kubu Goryokaku

Terletak di Hokodate, dahulunya Goryokaku merupakan sebuah kubu utama bagi empayar Ezo pada tahun 1869. Kini ia menjadi tarikan pelancong terutama sekali pada musim sejuk. Dihiasi dengan lebih daripada 2000 lampu, ia menyerlahkan lagi ciri-ciri tradisional budaya Jepun.

Kredit foto: Japan Travel

Itulah antara lokasi menarik di sekitar Hokkaido yang boleh anda lawati sepanjang musim luruh dan musim sejuk ini. Bagi melengkapkan persiapan ke sana, anda bolehlah menempah tiket penerbangan dari AirAsia melalui promosi tambang murah yang sedang berlangsung ketika ini sehingga 30 September 2018. Hanya di airasia.com tau!

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi, anda boleh layari AirAsia Hokkaido. Jangan lepaskan peluang menikmati pengalaman menarik di Hokkaido bersama-sama keluarga dan teman. Jom kita ke Jepun!


Haikal Ariff

I don't care what people think, because people don't think