Ikan patin gergasi seberat 156 kilogram (kg) berjaya ditangkap oleh sekumpulan penduduk di Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas awal pagi tadi.
Tangkapan yang dipercayai dilakukan di Sungai Lubok Jong, Kampung Teresek di situ menggunakan kaedah candik telah menggemparkan orang ramai sekaligus menjadi tangkapan terbesar bagi tahun ini.
Menurut satu sumber, wakil penduduk, Mohd Ghazali Daud, 62, berkata, mereka mengambil masa sekurang-kurangnya lebih dari satu jam untuk menarik ikan tersebut ke darat.
Beliau dan penduduk kampung sejujurnya terkejut dengan hasil tangkapan tersebut yang dikatakan merupakan ikan paling besar yang pernah mereka naikkan ke darat.
Katanya, seramai sepuluh orang termasuk dirinya bertungkus-lumus dalam usaha menangkap ikan patin buah tersebut.
Pada masa sama, beliau turut bersyukur hasil tangkapan itu berjaya dijual dengan harga RM15 sekilogram dan setakat ini sahaja sebanyak 120kg telah terjual.
Jelas beliau lagi, baki daripada ikan tersebut telah diagihkan kepada rakan-rakan yang telah terlibat dalam kerja-kerja menangkap hidupan air tawar itu.
Sumber : Kelantan State