Siakap Keli

Pemuda Autisme Ditahan ‘Cabul’ Gadis, Netizen Kecam Keluarga Mangsa Anggap Tahanan Reman Tindakan Kejam

Beberapa hari lalu seorang lelaki berumur 22 tahun ditahan selepas meraba seorang wanita di sebuah restoran di Subang Jaya.  Kejadian ini mendapat perhatian netizen kerana pemuda tersebut merupakan pesakit autisme yang secara terang-terangan tidak pasti dengan apa yang dilakukan olehnya.

Ketika kejadian, pemuda autisme tersebut bertindak memegang dada seorang wanita dewasa semasa makan malam sempena sambutan hari jadi pemuda tersebut di restoran terbabit.

Ekoran daripada itu, ibu bapa wanita tersebut telah membuat laporan polis walaupun ibu suspek sudah menjelaskan keadaan sebenar anaknya yang merupakan pesakit autisme.

Ibu kepada pemuda ini turut meluahkan rasa kesal melalui akaun Facebook miliknya kerana tak dapat membayangkan anak yang mempunyai kapasiti mental budak berumur 13 tahun terpaksa ‘mendiami’ lokap selepas penahanan tersebut.

Dalam pada itu, ibu bapa wanita yang ‘diraba’ dikatakan telah mendapat kritikan negatif daripada netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan mereka yang melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa walaupun telah diberitahu keadaan suspek.

Keluarga mangsa dalam satu kenyataan media memberitahu bahawa mereka dikecam kerana tidak prihatin dengan nasib yang dihidapi suspek.  Selain itu, ibu mangsa turut menekankan bahawa suspek tak sepatutnya dibiarkan berkeliaran tanpa pengawasan.

Nur Farra