Siakap Keli

Kerana Berbeza Taraf, Si Suami Ditetak Sampai Mati Dalam Upacara Pembunuhan ‘Bermaruah’

Seorang lelaki malang menjadi mangsa serangan tetak sehingga mati di hadapan isterinya yang sarat mengandung dipercayai sebagai satu upacara pembunuhan bermaruah dalam kejadian yang berlaku di India.

Pranay Kumar, 24, ketika kejadian bersama-sama isterinya, Amrutha Varshini, 23, baru sahaja meninggalkan hospital di Hyderabab sebelum seorang lelaki tidak dikenali menyerangnya pada 14 September yang lalu.

Perbuatan suspek menyerang mangsa berjaya dirakam oleh kamera pengawasan litar tertutup (CCTV) yang mulanya dilihat berjalan dibelakang Pranay dan isterinya sebelum menetak di bahagian belakang leher mangsa. Perbuatan tersebut disaksikan oleh isterinya.

Isteri mangsa dilihat cuba menghalang serangan lelaki berkenaan namun tidak berjaya. Manakala penyerang tersebut melepaskan satu lagi tetakkan yang tepat mengenai bahagian kepala Pranay. Suspek kemudian dirakam membuang parang yang digunakan dalam serangan tersebut dan meninggalkan lokasi kejadian. Manakala Amrutha dilihat berlari memasuki hospital kembali untuk meminta bantuan.

Walaupun diberi rawatan kecemasan dengan segera, namun Pranay disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. Pihak polis yang menyiasat kejadian berkenaan dalam satu kenyataan berkata pihaknya percaya motif serangan tersebut adalah serangan pembunuhan maruah disebabkan perbezaan kasta diantara kedua-dua pasangan suami isteri tersebut.

Amrutha dikatakan datang daripada keluarga kasta Vaishya yang berkecimpung dalam bidang pertanian dan perdagangan manakala suaminya Pranay merupakan seorang Dalit Kristian, yang juga dirujuk sebagai ‘tidak boleh disentuh’.

Kedua-dua pasangan tersebut yang berkahwin pada Januari dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa kebenaran keluarga daripada kedua-dua belah pihak. Bagaimanapun, keluarga Pranay dikatakan sudah menerima hakikat perkahwinan tersebut dan merancang untuk mengadakan majlis resepsi pada Ogos lalu.

Pihak polis sebelum ini sudahpun memberi amaran kepada pasangan bekenaan mengenai kemungkinan serangan selepas Pranay bertindak menjemput beberapa orang pegawai polis ke majlis resepsinya.

”Saya menaruh syak wasangka terhadap ayah isterinya dan sudahpun memberi amaran kepada mereka berdua,” kata Deputi Superitendan Nalgonda Srinivas kepada media tempatan.

”Jadi ketika majlis resepsi tersebut diadakan, kami turut menghantar anggota polis ke sana untuk memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya lagi yang berpendapat salah satu punca serangan tersebut berlaku apabila Amaruthi bertindak berkongsi video perkahwinan mereka di laman Facebook.

Sumber : Dailymail

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.