Siakap Keli

Pihak Pengurusan Hospital Terperangkap, Gabenor Buat Lawatan Mengejut Jumpa 12 Mayat Bayi Dalam Kotak

Lawatan mengejut yang dibuat oleh Gabenor Nairobi, Mike Sonko menggemparkan apabila beliau menemui 12 mayat bayi yang disumbat dalam kotak di Hospital Bersalin Pumwani, Kenya.

Sonko membuat lawatan mengejut ke hospital tersebut dengan menaiki teksi motosikal sekali gus memerangkap pihak pengurusan dan pekerja di situ apabila mayat-mayat yang dibungkus dengan beg polythene ditemui dalam stor.

Sebuah kotak yang ditemui mengandungi mayat seorang bayi, manakala dua kotak lagi diletakkan enam dan lima mayat.

Menurut Sonko, dia mengadakan lawatan mengejut itu selepas kemunculan sebuah rakaman video yang menunjukkan mayat diangkut dari wad hospital.

Setelah penemuan mengejutkan itu, Sonko menggantung pegawai pengurusan tertinggi dan ahli lembaga pengarah hospital itu dari tugas mereka.

 

Punca kematian bayi-bayi malang tersebut dan motif tindakan pihak hospiatl menyimpan mayat bayi di dalam kotak masih tidak dapat dipastikan.

Namun terdapat sumber yang mengatakan bayi-bayi tersebut mati pada hujung minggu berikutan terputus bekalan kuasa.

Sewaktu serbuan berlaku, salah seorang pegawai memberitahu Sonko bahawa hanya seorang bayi sahaja yang mati sejak Jumaat  lalu dan membuatkan Gabenor itu naik berang dan meminta untuk menghormatinya.

“Saya telah beritahu kamu yang saya ada maklumat bahawa terdapat enam mayat di sini. Mengapa kamu beritahu saya ia hanya satu?,” tanya Sonko.

“Jangan main-main dengan saya. Bila saya datang ke sini, saya dapat maklumat bahawa enam bayi mati hari ini. Saya tak mahu kamu buat lawak. Hormat saya.”

Setelah diarahkan membuka kotak lain yang tersembunyi di bawah meja, terdapat lima mayat di temui.

Pengarah komunikasi Elkana Jacob berkata hanya enam daripada 12 mayat telah direkodkan. Selebihnya tidak didokumentasikan, menimbulkan syak wasangka.

“Semasa lawatan mengejut, gabenor juga terkejut melihat bagaimana ibu mengandung berjuang untuk mendapatkan rawatan pranatal di hospital bersalin,” kata Jacob.

Sonko turut menggantung Mutinda, pegawai pentadbir Zadock Angahya dan George Nyadimo dan pakar bedah obstetrik James Kamau kerana dakwaan ketidakcekapan mereka dalam menjalankan tugas.

“Semua yang bertanggungjawab atas kecuaian ini akan berdepan undang-undang penuh. Saya tak akan membenarkan ini berlaku kepada ibu kita. Mereka mesti bertanggungjawab untuk kematian ini,” ujar Sonko.

Susulan penemuan itu, Sonko melaporkan insiden tersebut ke balai polis Pangani agar siasatan lanjut dapat dijalankan.

Hospital itu dipercayai terkenal dengan dakwaan kes kecurian bayi, kecuaian, perkhidmatan yang buruk dan penganiayaan pesakit selama bertahun-tahun.

Sumber: The Star Kenya

Aisha Ratnila

"Don't be distracted by criticism. Remember the only taste of success some people get is to take a bite out of you."

- Zig Ziglar