Siakap Keli

2 Suspek ‘Panggang’ Kucing Mengaku Tak Bersalah, Seorang Lagi Masih Diburu Polis

Dua orang lelaki yang terlibat dalam kegiatan kejam membunuh seekor kucing bunting didalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi di Gombak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali. Rentetan perbuatan kejam tersebut, mereka didakwa mengikut 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) Seksyen 29 (1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah walau bagaimanapun membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 16 Oktober untuk sebutan semula kes.  Mereka juga perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sepanjang proses Mahkamah masih berlangsung.

Walau bagaimanapun, seorang lagi suspek masih terlepas dan pihak berkuasa masih memburu bagi siasatan lanjut.

Sebelum ini kedua-dua suspek ditahan berikutan kes seekor kucing bunting ditemui mati dalam keadaan berdarah akibat melecur di kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Selasa minggu lalu.

Video yang tersebar telah mendapat perhatian netizen yang rata-rata memberi respon negatif terhadap pelaku.

Nur Farra