Siakap Keli

Sekeping Biskut Setiap Hari Selama 2 Tahun, Gadis Manis Hidap Penyakit Perut Tak Mampu Hadam Makanan

Bayangkan, jika perut anda hanya mampu menerima makanan sekeping biskut kosong setiap hari untuk tempoh dua tahun, anda tentu merasa sangat kecewa dan mungkin juga berputus asa.

Jika anda merasa pelik dan mustahil untuk anda mendapat penyakit sedemikian, percayalah, perkara berkenaan sememangnya berlaku dan itulah yang terpaksa ditanggung oleh gadis berusia 18 tahun, Rose Kelble daripada Amerika Syarikat ini.

Lebih teruk buat gadis ini, selepas terpaksa menerima kenyataan bahawa perutnya hanya mampu menghadam makanan berupa sekeping roti ataupun disebut sabagai ‘graham cracker’, dia kini terpaksa menerima hakikat bahawa keadaan yang dialaminya semakin kritikal apabila terpaksa bergantung kepada tiub makanan pula untuk mendapatkan manfaat daripada makanan.

Pelbagai penyakit yang dihadapinya membuatkan gadis ini kehilangan upaya antaranya menjejaskan fungsi perut, sistem imun badan dan sendi-sendi serta kulitnya. Malah, untuk menguruskan diri sendiri pun Rose tidak mampu. Terpaksa bergantung harap kepada bantuan ahli keluarga.

Rose ketika ini juga terpaksa menjadikan pengambilan 20 pil sebagai rutin harian untuk memastikan keadaannya tidak menjadi teruk, sejak pertama kali diserang virus misteri pada usianya 16 tahun.

Menurut doktor, Rose disahkan menghidapi penyakit gastroparesis, yang dipercayai berpunca daripada ketidakmampuan perutnya untuk menghadam makanan.

Keadaan tersebut dikatakan berpunca daripada kegagalan pelbagai saraf yang menghalang fungsi perut untuk menghadam makanan dengan sempurna selain menyebabkannya sering muntah dan loya.

Tidak hanya setakat masalah gastroparesis, Rose juga disahkan menghidapi tiga lagi masalah kesihatan yang serius iaitu Sindrom Ehlers-Danlos, Sindrom Mast Cell Activation (MCAS) dan Simdrom Median Arcuate Ligament (MALS).

Sindrom Ehlers-Danlos adalah satu sindrom yang mengganggu fungsi sendi dan kulit, menyebabkan Rose terdedah kepada masalah diskolasi dan lebam, selain menyukarkannya untuk bergerak.

Manakala MCAS pula adalah satu keadaan di mana sistem imun badan diaktifkan secara tidak sengaja dan bertindak menyerang tubuh badan sendiri.

MALS pula menghalang pembekalan darah ke organ perut dan pelbagai organ lain lagi. Hasilnya, lahir dengan empat masalah kesihatan serius, Rose tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Hidup gadis ini hanya di atas sebuah kerusi roda untuk kebanyakkan masa.

Jika dahulu, satu-satunya makanan yang mampu dihadam perut Rose adalah sekeping biskut graham setiap hari, hari ini dia terpaksa melupakan diet 60-kalori itu buat selama-lamanya kerana perutnya sudah tidak mampu menghadam walau sekeping biskut.

”Setiap hari adalah perjuangan. Saya bangun setiap bagi dan berjuang supaya saya dapat kembalikan semula hidup saya yang dahulu. Jika saya berseorangan di rumah, saya hanya mampu terbaring tanpa berbuat apa-apa.

”Sebelum ini saya cuba untuk kembali makan biskut graham, hanya sekeping, dan dengan pantas ia membuat saya merasa sangat menyesal kerana saya mula loya-loya.

”Jadi kini, biskut graham pun sudah dirampas daripada hidup saya, seperti makanan-makanan lain sebab saya pasti akan muntah. Kadang-kadang saya merasa sangat sedih apabila melihat orang lain menikmati makanan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Walaupun Rose sememangnya sudah mempunyai masalah kesihatan, namun serangan virus pada 2016 menyebabkan keadaan dirinya semakin meruncing sehinggalah sekarang.

Hasilnya, gadis ini terpaksa melupakan semua zaman mudanya termasuklah sesi persekolahan yang ketika itu sudah di tahun akhir. Kini, dunianya hanyalah rumah, dimana dia terpaksa menjalani terapi untuk mengelakkan penyakitnya daripada membarah dan ‘menjamah’ pelbagai ubat-ubatan.

”Disebabkan keterbatasan ini, saya sudah tidak mampu berjalan, memandu, makan, mandi hinggalah berjalan tanpa bantuan orang lain. 

”Sangat sukar untuk saya mengekalkan hubungan persahabatan dengan keadaan diri saya yang sebegini, hanya terperosok di rumah. Sedangkan mereka yang lain boleh keluar dan bergembira,” katanya lagi.

Rose sedar, masa yang diperlukannya untuk pulih masih panjang lagi, tetapi dengan terapi fizikal dan pengambilan ubat 8 biji sekali makan, dua kali sehari dan 4 biji lagi ubat tambahan, Rose optimis dia mampu sembuh dan menyambung kembali pengajiannya.

Apakah Gastroparesis?

Gastroparesis mengganggu otot perut menyebabkan perut tidak berupaya menjalankan fungsi perut dengan sempurna. Dianggarkan, seramai 1.5 juta orang di Amerika Syarikat mempunyai masalah yang sama seperti Rose.

Disebabkan penyakit ini mengganggu fungsi penghadaman, penghidapnya akan mempunyai masalah seperti loya, muntah serta masalah paras gula dalam badan dan mendapatkan nutrisi yang tepat.

Simptom-simptom lain adalah :

1. Cepat kenyang walau baru menjamah sedikit makanan

2. Masalah asid perut

3. Hilang berat badan

4. Tidak selera makan

Selain itu, gastroparesis juga boleh berlaku disebabkan komplikasi akibat kencing manis, atau selepas pembedahan atau akibat jangkita virus. Sehingga ini, ahli peubatan percaya punca utama gastroparesis adalah disebabkan berlaku kerosakkan pada sistem saraf yang mengawal otot perut.

Komplikasi ini juga boleh menybabkan pesakitnya muntah-muntah, dehidrasi, mengurangkan kualiti hidup dan makanan yang tidak dihadam dengan sempurna akan mengeras di dalam perut sekaligus mengancam nyawa pesakitnya.

Tiada ubat. Rawatan buat pesakit hanya meliputi pengubahsuaian diet seperti makan makanan yang lebih kecil dan lembut secara kerap, selain mengunyah makanan dengan sempurna.

Pembedahan untuk memasang tiub makanan diperlukan sekiranya gastroparesis semakin teruk dan langsung tidak mampu menelan sebarang makanan ataupun cecair.

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.