Siakap Keli

“Chupp” Parking, Salah Atau Tidak? Ini Jawapannya

Korang mesti dah pernah dah tengok sebelum ni kan beberapa video viral kelaku individu-individu cop tempat letak kenderaan. Bukan sahaja mendatangkan rasa sakit hati pada pemandu kenderaan yang terpaksa berhadapan dengan manusia-manusia macam ini, malah netizen pun turut sakit hati kerana tindakan sedemikian sangat kebudak-budakkan.

Tapi timbul persoalan, bolehkah ia dilakukan? Ada yang kata tak salah sebab dia yang sampai dulu, dan ada juga mendakwa ianya salah? Kalau salah, undag-undang mana yang anda boleh pakai? Yelah, takkan setakat nak rakam dan sebarkan je kan. Kalau boleh, biar dikenakan tindakan undang-undang, biar didenda ataupun dipenjara, supaya menjadi pengajaran pada yang lain.

Sebenarnya, ya. Ada undang-undang khas untuk menangani mereka-mereka yang mempunyai perangai ‘cop parking’ ini. Bukan setakat denda, kalau anda yang pernah menjadi mangsa sakit hati mengharapkan mereka-mereka ini dipenjara, sebenarnya anda boleh. Cuma laporkan dan berharap tindakan undang-undang dijalankan oleh pihak yang sepatutnya.

Jom baca perkongsian daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini. Semoga bermanfaat.

COP PETAK PARKING? SALAH ATAU TIDAK?

Siapa pernah ada pengalaman pusing-pusing cari parking, bila dah jumpa tiba-tiba ada pulak orang datang berdiri, duduk atau apa-apa sahaja di tempat tersebut untuk cop parking.

Memang tidak dinafikan perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah ia turut berlaku di beberapa negara maju. Apa yang jelas, tindakan ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan menyusahkan orang lain serta membahayakan keselamatan diri sendiri.

Di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Bahagian “Gangguan dan desakan menyalahi undang-undang“ menyatakan seperti berikut:

“Jika mana-mana orang melainkan dengan kuasa yang sah, berada di atas mana-mana jalan atau di mana-mana tempat letak kereta bagi maksud mendesak mana-mana orang lain berkenaan dengan penjagaan atau pencucian sesuatu kenderaan motor, atau bagi maksud mengarahkan mana-mana pemandu sesuatu kenderaan motor berkenaan dengan meletakkan kereta di atas jalan atau di tempat itu, dia melakukan suatu kesalahan.”

Dan di bawah Seksyen 119, penalti untuk kesalahan ini adalah denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga 6 bulan dan jumlah penalti serta tempoh hukuman penjara akan menjadi lebih bagi kesalahan berikutnya.

Sumber : Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.