Siakap Keli

Penghantar Ayam Maut Tersepit Lif

GEORGE TOWN, 23 Sept (Bernama) —  Seorang penghantar ayam maut selepas tersepit pada lif mengangkut barang di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Penang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata dalam kejadian pukul 10 pagi itu, Mohammad Shahrukh Khan Mohd Mydin, 19, dikatakan berada di situ untuk menghantar bekalan ayam yang dipesan restoran tersebut.

“Mangsa tersepit pada lif mengangkat barang di tingkat tiga restoran berkenaan dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Katanya siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menahan 18 penagih dadah dalam Op Sarang yang dijalankan di lokasi sarang penagih dadah di kawasan kebun kelapa sawit Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal dan Tasek Gelugor, semalam.

Katanya dalam operasi bermula pukul 5 pagi dan tamat pada 6 petang itu, polis menahan 18 lelaki berusia 18 hingga 53 tahun, masing-masing bekerja sebagai buruh dan penganggur.

“Hasil pemeriksaan di dalam sarang penagih tersebut, polis  merampas heroin  seberat 8.1 gram dan syabu (0.2 gram) bernilai RM314 daripada 10 penagih dadah berkenaan,” katanya.

Katanya ujian air kencing mendapati 18 lelaki itu positif dadah dan semua mereka kini direman untuk siasatan lanjut.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.