Nasib seorang ibu tunggal yang mengaku bersalah kerana menawarkan khdimat seks di Kuala Terengganu sama ada dikenakan hukuman sebat atau sebaliknya bakal ditentukan pada Khamis ini.
Menurut laporan media tempatan, wanita berkenaan ditahan pada 17 September lalu kira-kira pukul 10.45 malam ketika menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang lelaki.
Wanita yang merupakan ibu kepada seorang anak perempuan dilaporkan media membuat pengakuan bersalah di depan hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Terengganu, Rosdi Harun. Dia kemudian di dakwa di bawah Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001.
Media melaporkan berdasarkan undang-undang berkenaan, mana-mana pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda sehingga RM 5000, atau disebat dengan rotan sehingga 6 kali atau kombinasi hukuman terbabit.
Wanita berkenaan ketika membuat rayuan meminta mahkamah mengenakan hukuman yang lebih ringan selain memaklumkan memaklumkan bahawa dia tidak menerima sebarang bantuan kewangan daripada bekas suaminya.
Sebelum ini, Terengganu menjadi negeri pertama yang melaksanakan hukuman sebat syariah keatas dua orang pasangan lesbian yang disaksikan kira-kira 100 orang awam pada 3 September yang lalu.
Walaupun ia mencetuskan sedikit kontroversi, namun hukuman sebat syariah yang dikenakan jauh berbeza dengan hukuman sebat sivil selain perlu mematuhi syarat-syarat ketat yang tertentu.
Selain hukuman sebat, pasangan lesbian berkenaan juga dikenakan hukuman denda sebanyak RM 3300 atau penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan bayaran tersebut.