Siakap Keli

Mayat Dua Remaja Kemalangan Ditemui Dalam Parit

KANGAR, 24 Sept (Bernama) — Mayat dua remaja dipercayai terlibat dalam kemalangan kira-kira seminggu lalu ditemukan di dalam parit di Kampung Sungai Bugis, KM 11 Jalan Kangar-Alor Setar, Simpang Empat dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata mayat remaja tersebut yang dikenali sebagai Muhammad Hayat Romzi, 19, dan seorang lagi perempuan yang belum diketahui identitinya ditemui oleh orang ramai yang kemudian melaporkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kira-kira 5.30 petang.

Turut ditemukan dalam parit tersebut sebuah motosikal jenis Yamaha LC bernombor pendaftaran KEB 7484 dipercayai milik remaja lelaki berkenaan, katanya ketika dihubungi.

Wari berkata siasatan awal polis mendapati motosikal yang dinaiki kedua remaja tersebut merempuh sebatang pokok lalu terhumban ke dalam parit.

Beliau berkata kedua-dua mayat itu telah dihantar ke Bahagian Forensik, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk bedah siasat.

Wari meminta saksi kemalangan membantu siasatan polis.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.