Siakap Keli
Gambar Hiasan

Salji Lebat, 45 Dilaporkan Hilang Ketika Mendaki Di Utara India

Sekurang-kurangnya 45 orang termasuk 35 pelajar Institut Teknologi India (IIT) Roorkee, dilaporkan hilang ketika mendaki di kawasan pergunungan di Himachal Pradesh, utara India akibat salji lebat.

Kumpulan pendaki itu dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti di daerah Lahaul-Spiti, lapor agensi berita Xinhua, Selasa.

“Pendaki tersebut sepatutnya kembali semula ke hab pelancong Manali,” memetik jurucakap sebuah agensi berita tempatan, Rajvir Singh yang juga bapa seorang daripada pelajar yang hilang.

Difahamkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan.

“Kami berharap pasukan penyelamat termasuk anggota Tentera Udara India dapat mengesan mangsa,” kata seorang pegawai tempatan di Shimla.

Himachal Pradesh dilanda hujan dan salji lebat terutamanya di kawasan tinggi.

Pegawai berkata, mereka terpaksa menggunakan jentera untuk mengalihkan salji. Hujan lebat menyebabkan paras air beberapa batang sungai meningkat dan orang ramai dinasihatkan menjauhi kawasan tersebut.

Pihak berkuasa juga mengeluarkan amaran di kawasan lain yang terjejas di samping menggesa pengusaha pelancongan menghentikan aktiviti sukan mencabar termasuk paragliding, sehingga notis lanjut.

Kejadian itu turut mengakibatkan lebih 3,000 orang terkandas di Lahaul-Spiti dan Chamba.

BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.