Siakap Keli

Bayi Umur 3 Hari Hampir Maut, Kala Jengking Dijumpai Dalam Lampin Dengan 7 Kesan Sengatan

Seorang bayi berusia tiga hari di Brazil, secara ajaibnya terselamat selepas disengat oleh kala jengking kuning apabila haiwan berbisa itu bersembunyi di dalam salah satu lampin pakai buang bayi tersebut.

Ibu kepada bayi malang itu, Fernanda Ferreira hanya menyedari tentang apa yang berlaku apabila bayinya itu dilihat secara tiba-tiba lemah dan mulutnya mula mengeluarkan buih.

Wanita itu yang panik terus bergegas ke hospital bagi mendapatkan rawatan untuk menyelamatkan bayinya. Setibanya di sana, doktor menemui kala jengking tersebut berada di dalam lampin bayi berkenaan.

Malah, haiwan berbiasa itu juga dilihat tersekat di tali pusat bayi berkenaan serta dipercayai telah menyengat bayi itu sebanyak tujuh kali.

“Keadaan Sofia sangat lemah ketika itu. Dia tidak mahu menyusu dan sukar untuk bernafas. Saya langsung tidak tahu bahawa ada kala jengking di dalam lampin yang telah menyengat anak saya,” kata Ferreira.

Pakar pediatrik yang menjaga Sofia ketika itu turut menyatakan rasa terkejut apabila menemui kala jengking yang masih hidup dan memanjat di tali pusatnya.

Selepas menghabiskan masa 3 hari  di unit rawatan rapi, kini bayi tersebut dibenarkan pulang ke rumah.

“Saya dan suami menangis kerana kami yakin anak kami akan mati,” kata Ferreria.

Ferreria mengesyaki kala jengking tersebut merangkak masuk melalui longkang di dalam bilik air rumahnya dan memanjat ke almari tempat lampin bayinya itu disimpan dan bersembunyi di situ.

Difahamkan, kala jengking kuning merupakan jenis spesies yang paling bahaya di Brazil dan telah mengakibatkan 184 kematian di Amerika Selatan pada tahun 2017.

Sumber : Daily Mail UK

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.