Siakap Keli

Pengharaman Straw Minuman? Sebenarnya Puntung Rokoklah ‘World Largest Ocean Trash’ Yang Sebenar

Usaha murni untuk menyelamatkan alam yang semakin tercemar sememangnya dialu-alukan. Evironmentalist daripada seluruh dunia giat menjalankan kempen kesedaran ‘hidup tanpa plastik’ yang menyaksikan beberapa buah negara mula mengharamkan penggunaan pelbagai barangan berasaskan plastik terutamanya dalam industri makanan seperti polisterin, sudu dan beg plastik. Terkini, termasuklah beberapa buah negeri turut melaksanakan tanggunjawab untuk mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik pula.

Walaupun langkah yang diambil memberi manfaat yang besar ke atas kehidupan manusia hari ini, tetapi tahukah anda bahawa straw bukanlah bahan buangan utama yang mencemarkan alam terutamanya lautan, sebaliknya ‘tertuduh’ yang sebenar adalah puntung rokok. Seperti yang dilapor dan dipersoalkan oleh portal berita gergasi Amerika Syarikat, kenapa puntung rokok juga tidak diharamkan seperti straw?

Menurut NBC News, ia mungkin perkara yang berbeza sekiranya semua pihak saling bergandingan bahu termasuklah pengusaha produk tembakau, pasukan penyelidik dan penggubal undang-undang. Malah portal berkenaan turut menyebut bahawa aktivis alam sekitar yang memberi tumpuan kepada ancaman terhadap alam sekitar agar bergandingan dengan kumpulan aktivis yang mendesak pengharaman rokok di atas kemudaratan yang diberikan kepada manusia.

”Ia sangat jelas bahawa puntung rokok (filter) langsung tidak mempunyai sebarang manfaat kepada kesihatan. Mereka perlu menjelaskan hal ini, filter sebenarnya adalah satu alat iklan dan hanya memudahkan pengguna untuk menghisapnya,” kata Thomas Novotny, seorang profesor dalam bidang kesihatan awam daripada Universiti Negeri San Diego.

”Malah, filter juga sebenarnya adalah penyumbang utama kepada pencemaran, sama seperti sisa plastik. Ia sangat tidak masuk akal dan kita tidak boleh membiarkannya berlarutan,” katanya lagi.

Di California, ada usaha yang dibuat aktivis sebelum ini untuk mengharamkan rokok dengan filter di negeri tersebut, namun ia langsung tidak dilayan oleh penggubal undang-undang di peringkat tempatan. Di New York pula, Senatornya pernah mengeluarkan satu arahan yang membolehkan mana-mana orang awam yang menghantar puntung rokok ke pusat pengumpulan diberikan rebat, namun sekadar dingin begitu sahaja. Manakala pentadbir San Francisco mengamalkan pendekatan lebih radikal, namun berkesan di mana sebanyak 60 sen bagi setiap kotak rokok yang dijual perlu disalurkan ke pusat pelupusan bagi membantu menguruskan puntung-puntung rokok berkenaan.

Menarik, mungkin idea yang sama boleh diguna pakai di Malaysia kan. Ia bukanlah satu perkara yang menghairankan apabila puntung rokok dianggap sebagai sampah yang paling mencemarkan dunia kerana dianggarkan sebanyak 5.6 trilion batang rokok dihasilkan di seluruh dunia setiap tahun.

Bagi setiap batang rokok berkenaan turut disertakan dengan filter yang dihasilkan daripada cellulose acetate, satu bentuk daripada plastik yang mengambil masa berdekad-dekad atau lebih lama untuk terurai. Menurut Novotny, pengendali Projek Pencemaran Puntung Rokok, dianggarkan 2 per 3 daripada keseluruhan puntung-puntung rokok berkenaan diuruskan dengan cara yang tidak bertanggungjawab.

Semenjak 1986, Ocean Conservancy yang menjadi penaja kepada usaha-usaha membersihkan sampah sarap daripada pantai diseluruh dunia meletakkan puntung rokok sebagai sampah yang paling banyak dibersihkan untuk 32 tahun berturut-turut. Dianggarkan jumlah keseluruhannya ketika ini adalah sebanyak 60 juta puntung rokok sudahpun dikutip.

Menurut rekod, pengeluar produk tembakau mula menggunakan puntung rokok bersama-sama rokok yang dipasarkan semenjak pertengahan kurun ke-20. Ketika itu, penggunaan puntung rokok adalah salah satu alternatif untuk meredakan kerisauan perokok-perokok mengenai bahaya merokok.

Bagaimanapun, hasil penyelidikan yang dibuat oleh para saintis, tabiat rokok yang dikaitkan dengan sifat karsinogen (kanser) sebenarnya tidak dapat dikawal dengan menggunakan puntung rokok. Ini menjadikan penggunaan puntung rokok hanyalah sebagai alat pemasaran semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai.

Menyedari mengenai kajian dan pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh pergerakkan aktivis, syarikat pengeluar produk berasaskan tembakau mula risau jika mereka dipertanggungjawabkan dengan pencemaran alam lalu mula meneliti penggunaan puntung rokok yang lebih mesra alam dan mudah terurai.

Di Malaysia, bila lagi kan?

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=e4wvssllj9U]

 

Sumber : NBC News

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.