Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi satu portal berita tempatan melarang ibu bapa mendaftar anak mereka dengan nama yang panjang sehingga melebihi 80 aksara. Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Jasri Kasim, 80 aksara itu termasuk nama bapa, bin atau binti serta simbol seperti koma dan sebagainya.
“Ini kerana ruangan nama yang disediakan di borang pendaftaran adalah terhad kepada 80 abjad malah jarak antara perkataan juga dikira sebagai satu abjad.
“Oleh itu kita minta ibu bapa untuk mematuhinya dan untuk rekod nama individu yang paling panjang setakat ini adalah 78 aksara,” katanya hari ini.
Jasri berkata, selain pemberian nama yang membawa maksud tidak baik, nama yang panjang juga secara tidak langsung bakal memberi kesan kepada anak.
“Ini menyusahkan anak mereka kelak khususnya ketika berurusan rasmi dengan agensi kerajaan kerana tidak semua jabatan menyediakan ruangan nama yang mencukupi seperti di JPN.
“Selain itu kasihan kepada anak yang mempunyai nama panjang kerana setiap kali musim peperiksaan orang lain sudah menjawab beberapa soalan, mereka masih sibuk mengisi nama di kertas soalan,” katanya.
Selain pemberian nama yang membawa maksud tidak baik, turut ditegah memberikan nama anak dengan kumpulan nama gelaran yang dikurniakan oleh kerajaan seperti Tun, Tan Sri, Datuk, Datin, Puan Sri, Datuk Patinggi, Datuk Wira, Datuk Bentara Dalam dan Datuk Bentara Luar.
Ini diikuti nama pangkat atau jawatan contohnya, haji, imam, nabi, mufti, ketua menteri, gabenor, sarjan, laksamana, hakim atau permaisuri.