Siakap Keli

Jeruk Kulit Limau Dari China Dikesan Mengandungi Plumbum Tidak Diimport Ke Malaysia

Baru-baru ini, di negara China dikejutkan dengan berita bahawa jenama jeruk kulit limau yang juga popular di Malaysia mengandungi plumbum yang sangat bahaya untuk kesihatan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman web rasmi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menjelaskan bahawa jeruk kulit limau jenama Jiabao Jiuzhi Chenpi itu tidak diimport ke Malaysia.

Berikut adalah kenyataan penuh dari Datuk Hisham Abdullah:

Plumbum adalah bahan cemar yang hadir di dalam udara, air, tanah, produk hasil pertanian, makanan dan barangan lain seperti cat. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pendedahan kepada plumbum boleh menyebabkan gangguan kepada perkembangan minda kanak-kanak dan meningkatkan tekanan darah bagi orang dewasa.

Berdasarkan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of Malaysia– FoSIM) dari tahun 2017 sehingga kini, jeruk kulit limau keluaran Jiabao Jiuzhi Chenpi dari negara China yang terlibat dalam isu ini TIDAK diimport ke Malaysia.

Walaubagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah meningkatkan pemantauan ke atas semua jenis jeruk buah kering termasuklah jeruk kulit limau yang diimport dari negara China di semua pintu masuk negara. Sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan di bawahnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil.

Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak yang terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)