Siakap Keli

Kenapa Di Seluar Anda Ada Poket Kecil Ini? Nak Letak Barang Pun Tak Lepas

Anda perasan tak pada seluar anda, terutamanya seluar jenis denim atau selalu disebut sebagai ‘seluar jeans’, terdapat satu poket kecil, biasanya pada bahagian atas poket kanan seluar. Pernah tak anda terfikir, kenapa poket sekecil itu, yang secara kasarnya hampir tidak dapat digunakan untuk menyimpan apa-apa barang wujud pada seluar anda.

Sebenarnya, kewujudan poket kecil tersebut boleh dijejak sehingga tahun 1873 dan sangat berguna ketika zaman kemuncak atau zaman emas untuk seluar denim. Apakah fungsinya, suatu ketika dahulu, poket kecil ini sebenarnya digunakan oleh si pemakai untuk menyimpan jam poket (pocket watch).

Jam poket kalau anda nak tahu bentuknya bulat dan mempunyai rantai. Jika anda biasa menonton filem-filem klasik dari Amerika Syarikat, mungkin anda pernah melihat watak-watak di dalam filem berkenaan menggunakan jam poket. Walapun poket kecil ini tidak lagi berguna pada hari ini kerana rekaan jam yang sudah berubah, namun banyak penghasil-penghasil denim mengekalkan rekaan poket kecil berkenaan yang sudah menjadi sebahagian daripada jenama mereka.

Sejarah kewujudan poket kecil ini terhasil apabila pengeluar denim terkemuka dunia, Levi Strauss & Co. yang menghasilkan jeans biru dengan nama asal ‘waist overalls’. Seperti yang kami kongsikan diatas, ia sudah wujud sejak tahun 1873 ketika Strauss and J.W. Davis  mendapatkan paten dalam ‘Improvement in Fastening Pocket Openings’ sebelum mengeluarkan jeans biru dengan rekaan poket kecil berkenaan pertama kali pada tahun 1890 secara besar-besaran.

”Ia (poket kecil) adalah salah satu ciri-ciri yang ada dalam koleksi waist overall kami. Kami masih menyimpan sepasang koleksi waist overal tertua (1879) yang mempunyai poket kecil ini,” Tracey Panek, seorang sejarahwan yang bertugas dengan Levi Strauss & Co.

Hari ini, sangat susah untuk melihat mana-mana individu menggunakan jam poket kerana perubahan zaman seperti penghasilan jam tangan dengan rekaan yang menarik dan juga jam digital yang ada pada skrin telefon bimbit.

”Poket jam ini adalah eleman asli pada rekaan jeans kami, seperti penggunaan rivet pada bahagian tepi poket seluar, butang seluar, rekaan unik pada poket belakang dan patch kulit.

”Bagi memastikan rekaan kami mengekalkan keasliannya, kami masih mengekalkan ciri-ciri unik dan ini termasuklah poket jam,” kata Panek lagi.

Pelbagai syarikat pengeluar pakaian meletakkan poket jam di lokasi yang berbeza. Tetapi bagi Levi Strauss & Co. rekaan mereka tidak pernah berubah, semenjak kurun ke-19 lagi. Kecuali untuk satu ketika, tepatnya pada era Perang Dunia Kedua.

”Satu fakta menarik mengenai poket kecil ini adalah, rekaan rivet besi di kedua-dua sisi telah dibuang dalam usaha untuk memastikan stok bekalan besi cukup dalam membantu kempen perang negara,” kata Panek lagi.

Hari ini, walaupun ia hampir tidak berguna, namun sebenarnya poket kecil mempunyai sejarah yang sangat tua. Semoga pertanyaan anda yang sebelum ini terfikir kenapa poket kecil itu ada sudah terjawab.

Sumber : The Insider

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.