Siakap Keli

Rampasan Dadah Di Pulau Pinang Didalangi Sindiket “Berbahasa Mandarin”

BANGKOK, 30 Sept (Bernama) — Sitaan dadah terbesar dan pembongkaran sebuah makmal memproses bahan itu di Pulau Pinang pertengahan bulan ini, dipercayai didalangi sindiket yang “berbahasa Mandarin”, demikian menurut seorang pegawai Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik Thailand (NSB).

Sindiket transnasional itu dipercayai dianggotai oleh mereka yang bercakap dalam bahasa Mandarin dengan rangkaian hubungan di Hong Kong, Taiwan, China dan Malaysia.

“Ini penilaian risikan awal kami berhubung sindiket di belakang rampasan dadah di Pulau Pinang. Kami memantau panggilan telefon suspek kepada ‘seseorang’ di Guangzhou, China dan Hong Kong,” kata Timbalan Ketua NSB Mej. Jen. Thanai Apichartsenee kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Selain mengintip komunikasi suspek, NSB juga menjejaki aliran wang mereka bagi membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti individu-individu utama dan dalang sindiket.

Kira-kira dua minggu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menyerbu sebuah kilang di Pulau Pinang dan membongkar sebuah makmal yang menghasilkan jutaan dadah untuk berparti.

Polis juga merampas dua juta biji pil erimin 5, lebih 700 kilogram serbuk erimin 5, syabu, ekstasi dan lain-lain substans kimia untuk menghasilkan dadah serta peralatan dadah yang dianggar bernilai RM72.5 juta.

Polis mendakwa rampasan itu adalah yang terbesar sejak penubuhan jabatan 22 tahun lalu dan boleh menampung kegunaan sehingga lima juta orang.

Serbuan di Pulau Pinang itu merupakan hasil kerjasama JSJN, NSB dan polis China.

Susulan maklumat yang disampaikan oleh Bukit Aman, NSB menjejaki dua suspek warga Malaysia, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai anggota sindiket selepas mereka tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dari Hong Kong pada 4 Sept.

NSB melakukan intipan ke atas kedua-dua individu terbabit sepanjang mereka berada di Bangkok sebelum kedua-duanya menaiki penerbangan ke Hatyai di selatan negara pada 11 Sept.

Selepas tiba di Hatyai, kedua-duanya yang sangat dikehendaki itu mengambil jalan darat melalui Betong dan menyeberang sempadan ke Pengkalan Hulu, Perak sebelum ditahan oleh pegawai polis Bukit Aman yang menunggu di sana.

Menurut Thanai, dadah yang dihasilkan oleh sindiket di makmal Pulau Pinang itu kebanyakannya adalah untuk dieksport ke beberapa pasaran utama.

“Satu daripada pasaran utama sindiket ini ialah Filipina dan mungkin Australia, Taiwan serta Indonesia,” katanya.

Sementara itu, sumber berpangkat tinggi dalam NSB memberitahu Bernama anggota sindiket dari Taiwan, China dan Hong Kong telah meningkatkan penglibatan mereka di ‘Segi Tiga Emas’ iaitu kawasan yang mengeluarkan sebahagian besar dadah sintetik untuk pasaran dunia.

Beliau berkata sindiket itu mempermudah kemasukan bahan kimia untuk pemprosesan dadah ke kawasan ‘Segi Tiga Emas’ selain membekalkan ‘ahli kimia’ terlatih.

‘Segi Tiga Emas’ ialah kawasan pertemuan sempadan Thailand, Laos dan Myanmar.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di