Siakap Keli

Kebakaran Hutan Simpan Pekan: Anggota Bomba, Jabatan Perhutanan Terkandas

KUANTAN, 1 Okt (Bernama) — Enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan tiga kakitangan Jabatan Perhutanan Pahang terkandas semasa menyertai operasi memadamkan kebakaran di Hutan Simpan Pekan, sejak semalam.

Pengarah JPBM Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata mereka dipercayai terkandas di kawasan hutan ekoran keletihan selepas berjalan kaki selama lima jam bagi mencari jalan alternatif untuk ke lokasi kejadian, memandangkan kawasan itu tidak boleh dilalui kenderaan.

“Kami juga mendapat maklumat dua daripada mereka mengalami masalah kekejangan. Ini menyebabkan pasukan itu membuat keputusan untuk ‘rehat’ sementara berhampiran lokasi kejadian.

“Setakat ini, kami masih boleh berhubung dengan mereka, cuma kedudukannya secara tepat masih tidak diketahui. Kami juga menghantar pasukan untuk mencari dan menghantar bekalan makanan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Nor Hisham turut berada di lokasi kejadian bersama-sama Pengarah Perhutanan Pahang Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.

Katanya setakat hari ini, kawasan yang terlibat dalam kebakaran sudah dianggarkan seluas 120 hektar, berbanding 80 hektar pada Sabtu lepas.

Beliau berkata usaha memadamkan kebakaran melibatkan 21 anggota dan dibantu 15 kakitangan Jabatan Perhutanan.

“Setakat ini, kita dapat melimpahkan air ke permukaan kawasan yang belum terbakar menggunakan air daripada terusan balak di sini. Operasi itu bermula semalam dan pagi ini, kita dapati air sudah naik ke permukaan.

“Kita tidak dapat membawa jentera ke kawasan kejadian kerana lokasinya yang tidak mempunyai jalan selain keadaan berpaya,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.