Siakap Keli

Polis Tahan 34 Individu, Rampas Dadah Bernilai RM230,000 Di Pusat Hiburan

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 34 individu termasuk dua anggota sindiket di sebuah pusat hiburan di Dang Wangi di sini, Jumaat lepas dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM230,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata operasi dua jam bermula 2.30 pagi itu dijalankan JSJN Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Katanya, susulan tangkapan suspek berumur antara 16 hingga 54 tahun itu, polis telah menjalankan pemeriksaan di sebuah tempat letak kereta di kawasan Dang Wangi dan merampas 72 botol minuman dan 315 peket serbuk minuman disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine yang disembunyikan dalam sebuah kereta.

“Keseluruhan hasil rampasan dadah dalam serbuan ini ialah 181 botol air minuman dan 408 peket minuman yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine serta satu paket dadah jenis ketamin dan 60 batang rokok ganja.

“Meskipun pusat hiburan berkenaan telah diperiksa sebanyak lima kali dalam tahun ini, mereka masih melakukan kegiatan berkenaan kerana dipercayai mendapat pulangan yang lumayan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata, 32 suspek direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala dua lagi suspek direman tujuh hari bermula Jumaat lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952.

Sementara itu, Mohmad berkata dalam operasi yang sama, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 56 warga asing dan menahan 10 individu berumur 21 hingga 30 tahun.

Kesemua yang ditangkap direman 14 hari mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959, katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata bagi tempoh Januari sehingga 27 Sept tahun ini, JSJN telah menahan 123,881 individu termasuk 6,984 warga asing yang terlibat dengan dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM319.29 juta.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.