Siakap Keli

Selepas Bencana : Indonesia Rancang Bina Kubur Mega Semadikan Lebih 800 Jasad

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Indonesia merancang untuk membina kubur mega dengan setiap satunya mamou menempatkan sekitar 300 jasad, selepas bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda daerah Palu dan Donggala, Sulawesi meragut sekurang-kurangnya 832 nyawa.

Pasukan penyelamat pada masa yang sama turut bimbang kemungkinan angka kematian boleh mencecah sehingga ribuan orang setelah beberapa kawasan yang terjejas teruk masih belum dapt diakses sepenuhnya.

Ini termasuklah mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan kediaman, hotel dan perniagaan. Pasukan penyelamat juga mengesahkan beberapa kali mendengar suara orang meminta tolong daripada bawah runtuhan bangunan namun masih menanti ketibaan jentera berat sebelum kerja-kerja mengalihkan runtuhan dapat dijalankan.

Ketika ini, pasukan sedaya upaya cuba memastikan semua mangsa yang terperangkap yang masih hidup dapat bertahan dengan membekalkan mereka makanan dan minuman.

Menurut laporan media tempatan, pasukan penyelamat berjaya mengesan isyarat telefon bimbit daripada bawah runtuhan pusat membeli belah dan suara orang meminta bantuan boleh di dengar daripada runtuhan Roa Roa Hotel.

Salah seorang petugas penyelamat, Thalib Bawano, mengesahkan mereka berjaya megeluarkan tiga orang mangsa daripada runtuhan tersebut dan menganggarkan sekitar 50 orang lagi masih terperangkap.

”Kami mendengar suara daripada beberapa arah, termasuk suara kanak-kanak. Mereka menjerit meminta tolong, tetapi mereka harus bertahan buat sementara waktu.

”Kami berikan mereka semangat supaya mereka dapat bertahan. Makanan dan minuman diberikan, tetapi mereka beritahu itu bukan yang mereka mahu,” katanya.

Jalan yang terhalang, lapangan terbang yang rosak dan jaringan telekomunikasi yang terputus menyebabkan tugas-tugas menyelamat menjadi semakin sukar untuk dilaksanakan.

Selain cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat, mangsa-mangsa yang terselamat daripada bencana ini juga terpkasa berhadapan dengan pelbagai keadaan yang tidak memihak kepada mereka.

Antaranya terpaksa tidur di kawasan terbuka atau ditempatkan bersama-sama beg hitam bungkusan mayat. Selain kehilangan tempat tinggal, ada dalam kalangan mangsa yang terselamat ini terpisah daripada ahli keluarga lain, yang masih tidak dipastikan nasibnya.

Jumaat lalu, dua gempa bumi berkekuatan 6.1 dan 7.5 magnutud menggegarkan Pulau Sulawesi yang menyaksikan amaran tsunami dikeluarkan oleh kerajaan Indonesia, sebelum ditarik kira-kira 34 minit kemudian. Indonesia turut dikritik kerana terlalu awal menarik ancaman tsunami sehingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

Ketika kejadian, pantai di sekitar Palu dipenuhi oleh orang ramai yang sedang membuat persiapan untuk menyambut satu festival. Kehadiran tsunami setinggi dua meter itu menyapu bersih kawasan pantai antara punca kepada jumlah tinggi kematian.

Timbalan Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dalam satu kenyataan tidak menolak kemungkinan bahawa angka kematian boleh mencecah ribuan orang dengan Persatuan Bulan Sabit Merah menganggarkan sekitar 1.6 juta orang terjejas dalam malapetaka ini.

Sumber : BBC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.