Siakap Keli
Gambar : FB Mohd Syukri Madnor

(Video) Selepas Mandikan Dan Ikut Solatkan Jenazah Ayahnya, Remaja 14 Tahun Ini Nikahkan Dua Kakaknya Pula

Dia cuma berumur 14 tahun, tetapi amanah dan tanggungjawab yang dipegangnya sungguh besar sekaligus meminta dia untuk menjadi lebih matang daripada usianya.

Muhammad Amierul Adlie menurut laporan media tempatan, sentiasa ingat pesanan yang ditinggalkan oleh arwah ayahnya, Basiran Ali supaya ke depan dan mengambil tanggungjawab menjadi ketua keluarga, apatah lagi dia merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga 5 beradik tersebut.

Gambar : FB Mohd Syukri Madnor

Bukan kecil tanggungjawab yang dilaksanakan oleh budak sekecilnya, yang mungkin tidak mampu dilakukan oleh kanak-kanak lain sebayanya, bahkan orang yang lebih tua.

Ogos lalu, ketika ayahnya dijemput Illahi, Amierul lah yang bertanggungjawab memandikan jenazah arwahnya serta menunaikan solat jenazah yang berimamkan Mohd Syukri.

Sebulan kemudian, dia sekali lagi memikul tanggunjawab besar apabila menjadi wali dan menikahkan dua orang kakaknya. Kali pertama, pada 22 September yang lalu apabila dia memberanikan diri untuk menjadi wali kepada pernikahan kakak ketiganya, Nur Aina Nabihah Basiran.

Manakala kali kedua pula iaitu semalam, Amierul sekali lagi diberi tanggungjawab untuk menjadi wali kepada pernikahan kakak keduanya, Nur Amirah Basiran. Kedua-dua majlis diadakan di masjid yang sama iaitu di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang, Melaka.

Apa yang membanggakan bagi keluarganya adalah Amierul tidak gugup dan amat tenang biarpun tanggungjawab yang diberikan kepadanya sungguh besar.

Gambar : FB Mohd Syukri Madnor

Menceritakan detik-detik bersejarah yang dilalui oleh pelajar Maktab Rendah Sains Mara, Muar di Johor ini, Mohd Syukri Madnor yang juga saudara rapat keluarga berkenaan dalam satu kemas kini di laman facebooknya memaklumkan bahawa pernikahan kedua-dua kakanya itu sudah dirancang ketika arwah ayahnya masih lagi ada.

Memetik laporan daripada portal berita tempatan, Mohd Syukri yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) memberitahu pada mulanya keluarga membuat keputusan untuk memilih salah seorang bapa saudaranya sebagai wali bagi membolehkan majlis pernikahan tersebut diteruskan.

Perkara tersebut kemudian dibawa ke Pejabat Agama Islam untuk dirujuk. Pejabat agama kemudian bertanya sama ada pengantin perempuan mempunyai adik-beradik lelaki atau tidak.

Ujar Mohd Syukri lagi, keluarga pengantin bertindak memaklumkan mengenai Amierul sebelum pejabat agama mengesahkan bahawa dia memenuhi syarat utama untuk menjadi wali.

Pada awalnya keluarga berkenaan merancang untuk mewakilkan kepada jurunikah, tetapi setelah mengadakan perbincangan dengan keluarga, urusan menjadi wali diserahkan kepada Amierul dan dia juga bersetuju untuk menikahkan kakak-kakaknya.

Gambar : FB Mohd Syukri Madnor

Media berkenaan turut melaporkan bahawa ibunya, Rosiah Othman melahirkan rasa syukur kerana kedua-dua majlis yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.

Pada masa yang sama, dia juga merasa terharu dan berbangga dengan kemampuan Amierul untuk menjalankan tanggungjawab besar sebagai anak lelaki tunggal di dalam keluarga berkenaan.

Puan Rosiah yang masih dalam tempoh edah dan tidak menghadiri majlis berkenaan berkata dia memang yakin dengan kemampuan Amierul dan gembira dengan anaknya itu.

Sumber : Mohd Syukri Madnor

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.